Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, May 8, 2014

No Comment

BANGKOK – Penyingkiran Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam menjadikan keadaan politik di negara ini terus tidak menentu.

Dekri mengenai pilihan raya umum belum dikeluarkan, manakala kumpulan penyokong dan penentang kerajaan merancang untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran dalam tempoh terdekat bagi mengukur sokongan yang diterima mereka.

Mahkamah Perlembagaan mendapati Yingluck bersalah terhadap tuduhan menyalahguna kuasa dengan tindakannya menukar ketua Majlis Keselamatan Negara (NSC), Thawil Pliensri pada tahun 2011.

“Yingluck tidak boleh lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sementara,” kata mahkamah itu.

Mahkamah tersebut berkata keputusan menukar ketua NSC itu dibuat dengan tergesa-gesa, tidak telus, tidak beretika, bukan kerana kepentingan negara dan melanggar perlembagaan.

Keputusan itu juga bermakna sembilan daripada 25 menteri Kabinet yang terbabit membuat keputusan berkenaan turut hilang jawatan masing-masing, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sementara, Kittirat Na Ranong, dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar sementara, Surapong Tovichakchaikul.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Pongthep Thepkarnchana berkata kabinet, meluluskan pencalonan Niwatthamrong Boonsongpaisan yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan sementara untuk menggantikan Yingluck.

Beratus-ratus penyokong Yingluck berkumpul di hadapan pejabat sementara beliau untuk memberi sokongan dan galakan selepas beliau disingkirkan mahkamah daripada jawatannya.

Dalam reaksi pertamanya mengenai keputusan mahkamah itu, Yingluck berkata, beliau akan terus bersama rakyat dan berkhidmat kepada mereka tanpa mengira jawatan yang disandang.

“Saya bangga kerana telah menjadi Perdana Menteri. Setiap minit, setiap hari dalam tempoh dua tahun, sembilan bulan dan dua hari itu merupakan saat-saat yang amat membanggakan bagi saya kerana dapat bertugas sebagai Perdana Menteri yang dipilih rakyat,” kata Yingluck pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kerajaan.

Yingluck enggan mengulas secara langsung tentang keputusan Mahkamah Perlembagaan semalam dan hanya berkata beliau sedang menunggu keputusan rasmi daripada mahkamah.

Yingluck menghadapi satu lagi kes mahkamah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan mengenakan terhadapnya tuduhan mengabaikan tanggungjawab berhubung skim subsidi padi yang berhutang berbilion-bilion baht kepada petani, yang didakwa para pengkritik sebagai penuh dengan amalan rasuah.

Perkembangan terbaharu ini menaikkan semangat kumpulan ‘Baju Merah’, gelaran yang diberi kepada penyokong kerajaan.

Kumpulan Baju Merah dijadual mengadakan perhimpunan mulai semalam sehingga 9 Mei ini di stesen TV Asia Update di Latprao, Bangkok, untuk mengadakan raptai penuh sebelum mengadakan perhimpunan secara besar-besaran yang dijadualkan pada 10 Mei depan di Aksa Road di kawasan Phuthamonthon, tidak jauh dari sini.

Kumpulan penentang kerajaan, yang bernaung di bawah Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) juga merancang mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di ibu negara Thailand ini pada 14 Mei depan.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun tidak memberi kemenangan penuh kepada kumpulan penentang kerajaan kerana majoriti anggota kabinet masih kekal dengan jawatan masing-masing dan tidak digantikan seluruhnya seperti yang dituntut kumpulan berkenaan selama ini.

Dalam pada itu, isu pilihan raya umum, yang ingin diadakan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 20 Julai depan masih tertangguh kerana Dekri Diraja yang memerintahkan pilihan raya diadakan, masih belum dikeluarkan.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Pongthep Thepkarnchana berkata, beliau sedang menunggu pengesahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai mesyuarat yang akan diadakan Jumaat ini untuk membincangkan prkara berkaitan pilihan raya itu.

Deraf Dekri Pilihan Raya itu sepatutnya dibentangkan pada mesyuarat mingguan kabinet semalam.

Parti pemerintah, Pheu Thai, mahu pilihan raya umum diadakan lebih cepat memandangkan ia masih mendapat sokongan di kawasan utara negara ini, manakala pembangkang pula mempunyai kekuatan di Bangkok dan selatan Bangkok.

Pheu Thai menjadi pilihan ramai untuk mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum itu kelak. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment