Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, June 11, 2014

No Comment

SEGAMAT – Seorang pekerja sebuah syarikat pemungutan sisa pepejal swasta di Labis, di sini, meninggal dunia pagi semalam, selepas hampir 12 jam dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) selepas dipukul dua lelaki.

Mangsa, Mohd Shukri Zakaria, 35, melalui jalan pintas di bawah landasan kereta api berhampiran sebuah ladang estet untuk ke pekan Labis dan dia sebelum itu dikatakan baharu sahaja pulang dari tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Labis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal berselisih dengan motosikal dinaiki suspek di jambatan kayu di laluan berkenaan.

Menurutnya, jalan tersebut sempit dan tidak boleh dilalui kereta.

“Apabila tiba di bawah jambatan tersebut, berlaku perselisihan faham dan sedikit pertengkaran kecil di antara mangsa dan suspek.

“Kedua-dua suspek bertindak turun daripada motosikal mereka kemudian memukul mangsa menggunakan topi keledar. Kejadian tersebut disedari polis bantuan ladang kerana jarak di antara kawasan kejadian dan pos pengawal kira-kira 50 meter,” katanya, semalam.

Mohd Kamil berkata, melihat kejadian berkenaan, polis bantuan ladang yang bertugas ketika itu terus menghubungi Balai Polis Labis memaklumkan kejadian dan meminta pihak berkuasa supaya segera ke lokasi.

Katanya, mangsa dibawa ke HDS oleh salah seorang polis bantuan ladang berkenaan sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana cedera parah pada kepala dan muka.

“Mangsa meninggal dunia di HDS kira-kira pukul 6.30 pagi semalam, dan dibawa ke rumah mayat HDS untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Salah seorang suspek juga telah ditahan pada jam 9.30 pagi tadi (semalam) setelah anggota polis membuat intipan bermula dari waktu kejadian pada petang semalam (kelmarin), manakala seorang suspek lagi masih diburu,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Mohd Suhami Zakaria, 29, berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada enam beradik dan masih belum berkahwin selain tinggal bersama keluarga di Taman Perumahan Awam Labis, Jalan Muar, di sini.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu abangnya itu kira-kira jam 5 petang kelmarin, ketika mangsa pulang ke rumah untuk menukar baju kerja kepada baju biasa sebelum keluar semula ke pejabatnya untuk merekod kad perakam waktu (punch card).

“Beberapa hari sebelum kejadian, abang lebih banyak duduk di biliknya menyepikan diri. Emak juga ada beritahu semalam (kelmarin) abang sempat bergurau dengan emak dan anak saudara sebelum keluar.

“Kali terakhir kami semua adik-beradik berkumpul pada Jumaat minggu lalu ketika menyambut hari lahir salah seorang anak saudara saya dan ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, dia mendapat tahu abangnya dipukul selepas dihubungi salah seorang polis bantuan menggunakan telefon bimbit mangsa sebelum bergegas ke kawasan kejadian bersama salah seorang rakan.

Jelasnya, ahli keluarga reda dengan kejadian yang berlaku dan jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Merah, di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Sumber: Sinar Online

0 comments:

Post a Comment