Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, June 10, 2014

No Comment

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 16 Julai bagi penyerahan dokumen untuk pengurusan kes sebelum menetapkan tarikh perbicaraan kes saman fitnah bekas calon PKR bagi kerusi Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Rusita Md Lazim, bagi plaintif dan defendan memasukkan fail ikatan dokumen berkaitan sebelum memulakan perbicaraan penuh.

Mohd Shamsul hadir di mahkamah hari ini manakala Abdul Hadi selaku defendan tidak hadir.

Peguam Alias Ibrahim yang mewakili Mohd Shamsul berkata, dijangka terdapat beberapa tarikh sebutan lagi sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan bagi membolehkan pernyataan bertulis saksi-saksi dan lain-lain perkara difailkan.

“Kita akan masukkan dokumen termasuk video, gambar, keratan akhbar dan sebagainya sebagai dokumen sokongan untuk tarikh perbicaraan penuh ditetapkan nanti,” katanya kepada pemberita.

Pada 23 Februari lalu, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan oleh pihak plaintif.

Bagaimanapun pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadap Abdul Hadi itu setelah mendapati writ saman yang difailkan oleh Mohd Shamsul selaku plaintif pada 17 Februari lalu tidak mengikut prosedur mahkamah.

Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang PRU13 tahun lepas sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.

Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dun Bukit Besi melalui Roslee Daud dengan memperoleh 6,966 undi menewaskan calon Pas, Roslan Ismail (4,408) dan Mohd Shamsul yang cuma memperoleh 52 undi.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment