Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, July 26, 2014

No Comment

AMSTERDAM – Selepas selesai tugas sebagai penterjemah bahasa Rusia selama seminggu di Ukraine, khidmat doktor pediatrik dari Hospital Ampang, Dr Muhamad Akmal Saleh ditagih oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membantu menguruskan pengebumian jenazah mangsa MH17 di Belanda.

Lulusan Russian State Medical University di Moscow itu berkata pegawai Jakim memintanya berbuat demikian selepas beliau membantu mereka bertemu dengan beberapa pemimpin Islam Ukraine minggu lepas.

“Tugas saya sekarang menguruskan jasad mangsa, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam,” kata anak muda berusia 26 tahun itu kepada Bernama di sini.

Dr Muhamad Akmal antara 133 anggota pasukan penyiasat khas Malaysia yang tiba di Ukraine pada 18 Julai lalu susulan nahas Penerbangan MH17 di Donetsk, timur Ukraine sehari sebelumnya.

Pasukan itu berlepas pulang ke ibu negara pada Jumaat selepas tugas mengeluarkan mayat mangsa dan mengambil semula kotak hitam pesawat selesai.

Menurutnya keinginan untuk berkhidmat kepada negara membuatkan beliau sanggup berkorban dan tidak pulang ke tanah air bagi meraikan Aidilfitri bersama isteri, Fatin Nadirah Idrus yang sedang hamil lima bulan.

“Ini kali pertama saya menyambut Aidilfitri tanpa dia,” katanya.

Menurut Dr Muhamad Akmal beberapa anggota pasukan penyiasat khas itu masih berada di sini bagi urusan mengenal pasti jenazah dan pengebumian.

Katanya kumpulan terakhir jasad mangsa MH17 dari Kharkiv, Ukraine dijangka tiba di Eindhoven, dekat sini lewat petang Sabtu.

Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines itu yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment