Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 4, 2013

No Comment
Hassan Talib

SATUN (Thailand) - Tiada pusat atau kompleks pendidikan Syiah yang dalam perancangan atau sedang dibina di wilayah Satun, Thailand seperti digembar-gemburkan pihak tertentu sebelum ini.

Ini kerana, Majlis Agama Islam Wilayah Satun (Mais) tidak menerima sebarang permohonan untuk membina sebarang pusat pendidikan atau pusat agama berkaitan dengan Syiah dalam tempoh setahun yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Mais, Hassan Talib berkata, setakat ini perkara itu tidak pernah dibincangkan atau ditimbulkan dalam mana-mana mesyuarat majlis selama ini.

Beliau berkata, permohonan pembinaan pusat pendidikan berasaskan Islam perlu melalui Mais untuk mendapat sokongan dan kelulusannya sebelum dipanjangkan kepada jabatan kerajaan lain, terutama pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

“Menjadi amalan kami di sini, setiap permohonan untuk membina pusat pendidikan Islam perlu dikemukakan kepada Mais.

“Jika melibatkan pusat pendidikan berasaskan akademik, ia perlu dihantar terus kepada Kementerian Pendidikan bagi kelulusan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Mengikut laporan akhbar, Gerakan Syiah Malaysia dipercayai akan menggunakan dana sebesar RM24 juta untuk bina sebuah pusat serba canggih di wilayah Satun, sebagai pusat gerakan bagi menyuburkan fahaman itu.

Difahamkan pusat itu pada awalnya dirancang dibina di Gombak, Selangor yang dijangka siap pada September tahun lalu tetapi dibatalkan berikutan permohonan pembinaan ditolak selepas campur tangan pihak berkuasa agama dan keselamatan.

Satun yang bersempadan dengan Perlis dipilih bukan sahaja disebabkan lokasinya berdekatan dengan Malaysia, tetapi pengikut fahaman Syiah di situ semakin berkembang, selain tiada halangan untuk menyuburkan fahaman itu daripada kerajaan Thailand.

Pusat pendidikan khusus untuk pengikut Syiah di Thailand pernah cuba dibina pada 2010 tetapi pembinaannya dihentikan ekoran dana yang tidak mencukupi.

Difahamkan, dana pembinaan ketika itu hanyalah menerusi sumbangan ahli-ahli Syiah. Bagaimanapun dengan dana baharu hasil sumbangan Syiah Malaysia itu, pusat pendidikan itu dijangka menjadi realiti.

Pembinaannya juga difahamkan sudah diputuskan hasil pertemuan sulit antara aktivis Syiah Malaysia dengan ahli jawatankuasa sebuah masjid di wilayah berkenaan.

Hassan berkata, jarang berlaku individu yang datang membuat permohonan sebaliknya ia melibatkan institusi seperti sekolah agama rakyat, persatuan guru agama,  masjid, surau atau madrasah.

Ini kerana, setiap permohonan membina pusat pendidikan agama Islam perlu mendapatkan kerjasama institusi agama, terutama masjid.

“Dalam kata lain, setiap permohonan pembinaan pusat itu perlu berada dalam pengetahuan pentadbiran masjid kawasan atau kampung berkenaan.

“Jadi, pusat pendidikan itu akan berada di bawah pengawasan atau pentadbiran masjid berkenaan. Ini memudahkan pengurusan dan pemantauan. Jika mohon melalui masjid, kita akan lulus dengan mudah,” katanya.

Ketika dimaklumkan bahawa pembinaan kompleks itu menelan belanja RM24 juta, beliau agak terkejut dan berkata, ia satu jumlah besar kepada masyarakat Thailand iaitu sebanyak 240 juta baht dalam mata wang tempatan.

“Tetapi jika mereka mohon, kita akan kaji secara teliti dan tidak mudah untuk meluluskannya,” katanya.

Bagaimanapun, Hassan beri jaminan akan menyiasat dan terus pantau pergerakan ahli Syiah di wilayah berkenaan bagi membendungnya daripada terus merebak dan boleh mengancam akidah umat Islam di sana.

Ditanya kemungkinan ahli Syiah membinanya secara senyap dan bersembunyi, beliau tidak menolak kemungkinan itu boleh berlaku tetapi menegaskan lambat laun majlis akan mengetahuinya melalui maklumat disampaikan oleh masyarakat setempat atau penduduk di sekelilingnya.

“Mereka boleh bina bangunan apa sekali pun tetapi kita akan dapat tahu juga akhirnya. Masyarakat Islam di wilayah ini begitu sensitif dengan isu agama dan akan memaklumkan kepada Mais jika ada perkara pelik yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

0 comments:

Post a Comment