Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, September 6, 2014

No Comment

Polis Perancis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat pramugara Malaysia Airlines (MAS) berhubung aduan serangan seksual dibuat seorang penumpang kerana kejadian yang didakwa itu tidak berlaku di Perancis atau ruang udara negara itu, kata peguam Malaysia.

Shailender Bhar, yang akan ke Paris awal minggu depan berkata kata anak kapal berusia 57 tahun itu sepatutnya dihantar pulang ke Malaysia untuk siasatan.

"Oleh kerana tiada kesalahan jenayah yang berlaku dalam bidang kuasa Perancis, dia tidak sepatutnya disiasat di sana," katanya.

Ahli keluarga suspek meminta bantuan Shailender mengendalikan kes itu susulan penahanan suspek oleh polis Perancis sejak 5 Ogos lalu. Kesnya sedang disiasat atas tuduhan merogol.
"Kami akan bertemu pendakwa negeri yang akan kembali bekerja selepas cuti musim panas ini," katanya.

Shailender berkata, beliau akan meminta suspek dibebaskan dengan ikat jamin sementara melihat kemungkinan memfailkan cabaran yang polis Perancis tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dan membuat pertuduhan.

Pihak berkuasa Perancis memberi seorang peguam kepada suspek tetapi peranan Shailender ialah memberi nasihat daripada perspektif Malaysia mengenai undang-undang itu.

Shailender berkata, daripada maklumat yang dikumpul setakat ini, pengadu warga Australia Laura Bushney, 26, mendakwa kejadian itu kali pertama berlaku di dalam kapal terbang itu sebelum berlepas iaitu semasa ia masih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Insiden kedua berlaku tiga jam setengah kemudian ketika pesawat Malaysia Airlines MH20 itu sedang melewati Teluk Bengal, India, atau ruang udara antarabangsa.

"Tiada kesalahan berlaku di Perancis atau di ruang udara negara itu," kata Shailender.

Portal berita Perancis FranceTVInfo yang pertama melaporkan anak kapal itu ditahan kerana menyerang secara seksual seorang penumpang semasa penerbangan.

Penumpang itu dikatakan memberitahu pramugara itu yang dia gemuruh ketika kapal terbang itu melepasi Lautan India berikutan kehilangan MH370 pada bulan Mac dan MH17 yang ditembak pada bulan Julai di Ukraine.

Penumpang itu dilaporkan membuat laporan polis apabila tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle pada 5 Ogos.

Pramugara MAS itu kemudiannya disoalsiasat dan dua hari kemudian ditahan polis.

Bagaimanapun, timbul keraguan berhubung dakwaan Bushney itu selepas dia muncul di sebuah stesen televisyen Australia bercakap tentang kejadian itu.

Katanya, dia telah merakam sebahagian serangan yang dikatakannya itu menggunakan telefon kamera tetapi dia tidak cuba menghentikannya. Ia menimbulkan kesangsian penonton yang merasakan ia tidak logik.

Pengguna media sosial mengkritik Bushney selepas menonton temuramah 30 minit itu, mengatakan dia hanya mereka cerita dan menuduhnya "melakukannya untuk wang".

Setengah mereka mempersoalkan bagaimana dia berjaya merekodkan kejadian itu jika dia dalam keadaan takut seperti didakwanya.

Yang lain membangkitkan isu gambar “tidak senonoh” yang terdapat dalam akaun Instagramnya, bagaimanapun ia dipadam kemudiannya. Yang lain ada juga yang mempertahankannya, mengatakan sebagai mangsa, dia tidak harus dipersalahkan.

Beliau mendakwa dalam program televisyen itu, pramugara tersebut “merayu saya tidak melaporkan kejadian itu, semasa kami masih di udara, kerana katanya dia ada isteri dan seorang anak".

Katanya, lelaki itu mengambil kesempatan daripada kebimbangannya lalu duduk di sebelahnya dan kemudiannya menyentuh kaki dan kemaluannya. – The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment