Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, September 8, 2014

One Comment
Penyanyi rock terkenal, Datuk Hattan diumumkan sebagai Pengetua AF2014.
PETALING JAYA: Konsert minggu pertama Akademi Fantasia 2014 (AF2014) membuat kejutan apabila mengumumkan bekas penyampai radio Hot FM iaitu Faizal Ismail sebagai pengacara program tersebut bersama Zizan Razak bermula minggu hadapan.

Faizal yang lebih dikenali dengan panggilan FBI muncul pada segmen terakhir konsert yang sepatutnya mengumumkan penyingkiran peserta pertama daripada konsert itu.

Konsert itu berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam dekat sini pada malam Ahad.

Barisan 12 peserta Akademi Fantasia 2014 (AF2014).
Bagaimanapun seperti tahun-tahun sebelum ini kesemua 12 peserta yang bertanding tidak disingkirkan pada minggu pertama persembahan.

Terdahulu seperti mana dijangka penyanyi rock terkenal, Datuk Hattan diumumkan sebagai Pengetua AF2014 sebelum konsert berlangsung.

Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 49, turut menyampaikan beberapa buah lagu popular nyanyiannya secara medley pada segmen pengenalan tersebut.

Selain Hattan, tenaga pengajar lain yang terbabit dalam musim ini ialah Fatimah Abu Bakar (Guru Komunikasi dan Bahasa Inggeris), Linda Jasmine (Guru Tarian dan koreografi), Datin Marlia Musa (Guru Seni Persembahan) dan Siti Hajar (Guru Vokal).

Manakala pelakon, pengacara dan pelawak Jihan Muse mengendalikan Diari AF.

Sementara itu, konsert minggu pertama itu menyaksikan 12 peserta membuat persembahan sulung mereka dihadapan penonton.

Dua juri tetap yang ditampilkan untuk mengadili peserta adalah Raja Azura dan Datuk Ramli MS.

Peserta yang bertanding masing-masing enam lelaki dan enam wanita iaitu, Azwan Satar, 30, Ikhwal Hafiz Ismail, 22, Mohd Firman Bansir, 25, Mohd Razman Abd Aziz, 22, Muhd Zharif Mohd Kamil, 26 dan Muhd Fareezuan Adnan, 19.

Enam peserta wanita pula ialah Adeline Joyce Masidah, 21, Muna Shahirah Munadi, 20, Nina Nadira Naharuddin, 22, Nor Aziha Md Salleh, 20, Syamila Nuhair Zainordi, 21 dan Walfadhilah Suhaizat, 19.

Rutin harian pelajar di akademi dapat ditonton menerusi Diari AF pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam.

Manakala konsert mingguan disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam dan ia bersiaran meneruai saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135). ─ mStar online

1 comments: