Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, August 25, 2013

No Comment

Hampir setahun diperam, baru filem Tanda Putera berdasarkan biografi perdana menteri kedua Tun Abdul Razak ditetapkan tarikh tayangannya pada 29 Ogos ini selepas dijadualkan untuk tayangan 13 September 2012.

Penggiat dan pelakon menjayakan filem ini, terutama Rusdi Ramli yang memegang watak utama sebagai Tun Razak dan Zizan Nin (Tun Dr Ismail) turut menarik nafas lega.

Tanda Putera diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).

Sebaik majlis previu diadakan buat kali pertama dan sedutan iklan filem itu ditayangkan tahun lalu, ia menjadi perhatian dan sensasi.




Menyedihkan, tayangannya ditahan kerana ada pihak cuba mempolitikkan filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu. Babak bersejarah 13 Mei dijadikan isu, ditambah pula kehangatan persiapan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang menjadi tanda tanya sejak tahun lalu.


Zizan atau nama sebenar, Azizan Nin, 39, akui terkejut apabila dimaklumkan Tanda Putera ditahan tayangannya tahun lalu memandangkan ia karya bagus.

Katanya, sewaktu dipertontonkan kepada media dan karyawan filem lainnya pada majlis previu, ramai memuji pembikinannya.

“Tiba-tiba Tanda Putera menjadi isu sensasi. Pelbagai tuduhan tidak benar dilemparkan terhadap filem ini, sedangkan kalau kita lihat, ia memaparkan sejarah sebenar negara kita membabitkan kisah hidup dua pemimpin negara, yang mana latar kehidupan peribadinya tidak diketahui umum, terutama generasi muda.

“Saya anggap ia sebagai dugaan, namun sebagai pendukung watak utama, tanggungjawab mempromosi filem mengikut apa diaturkan penerbit tetap saya lakukan sebaik mungkin.

“Bukan hendak mengutuk atau menyebelahi mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan filem ini, tetapi ia tidak sepatutnya dijadikan bahan perjuangan mereka. Tanda Putera hanya satu karya seni,” katanya.

Satu lagi cabaran bakal dihadapi Tanda Putera apabila ditayangkan nanti membabitkan sambutan bakal diterima, memandangkan sekarang kebanyakan penggiat, terutama penerbit dan pengarah filem, mengeluh apabila filem dihasilkan tidak mendapat sambutan. 

Sayang jika karya bagus dengan lakonan mantap Zizan bersama Rusdi dan beberapa pelakon lain, Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Tunku Abdul Rahman (Kamarulzaman Taib), Sahee Shamsuddin (Najib Tun Razak), Razif Hashim (Johari Tun Razak), Ismaizal Yusoof (Tawfik Tun Ismail), Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson) dan Norman Hakim (IGP Hanif) tidak mendapat sambutan.

Dalam hal ini, Zizan tidak gusar kerana yakin Tanda Putera akan ditonton, terutama oleh mereka yang sentiasa mengikuti hasil karya Shuhaimi setiap kali ditayangkan di pawagam.

Katanya, menilai dari sudut sambutan penonton sekarang ini, memang susah hendak dibaca membabitkan pelbagai genre filem ditayangkan sebelum ini, termasuk seram, aksi dan komedi.

Ada yang gagal dan ada yang mencatat kutipan pecah panggung. Begitupun, menerusi maklum balas diterima daripada sedutan Tanda Putera dimuat naik dalam laman sosial, kebanyakan yang menyaksikan filem ini menggemarinya.

“Shuhaimi ada peminat dan pengikut, malah kalau kita lihat latar kerjaya seninya sebelum ini, Shuhaimi boleh diibaratkan sebagai pelopor.

“Contohnya filem seram sudah lama tidak dihasilkan penggiat tempatan, tetapi apabila Shuhaimi menghasilkan Pontianak Harum Sundal Malam, ia menjadi hit. Sejak itu genre filem sedemikian terus mendapat tempat.

“Pada saya, tema Tanda Putera adalah berat, tetapi Shuhaimi berjaya menggabungkannya dengan elemen komersial,” katanya. 

Rusdi pula menjelaskan, filem Tanda Putera tidak harus dihukum berdasarkan tontonan menerusi sedutannya yang dimuat naik ke laman sosial kerana apa dipaparkan dalam sedutan itu hanya babak panas. 

“Ia dipilih bagi menarik minat penonton. Begitupun, mereka tidak harus membuat penilaian menerusi sedutan ditayangkan. Untuk mendapatkan gambaran sebenar, lebih baik mereka menyaksikannya di panggung,” katanya.

Sebagai pelakon, apabila filem itu disekat tayangannya, Rusdi akui turut risau, apatah lagi ia dikaitkan dengan pelbagai isu sehingga menyebabkan keputusan sama ada ia ditayangkan atau tidak tergantung.

“Sebagai pelakon, kami menjayakan filem itu tanpa agenda, apatah lagi mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik. Sayangnya, perkara berlaku (ditunda tayangannya) disebabkan Tanda Putera dipolitikkan. 

“Sebenarnya, pada saya, filem ini harus ditonton kerana ia banyak pengajaran. Bukankah kita harus belajar dari sejarah untuk menjadi bangsa lebih baik.

“Saya juga tidak bimbang dengan sambutan bakal diterima. Walaupun ada yang mengaitkan Tanda Putera dengan genre berat, menerusi maklum balas diberi sebelum ini, ramai menyatakan mereka tidak sabar-sabar mahu menyaksikannya di pawagam.

“Saya masih ingat, sewaktu penerbit mahu mengadakan tayangan perdana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun lalu, tiket habis dijual dan ia bukan saja mahu disaksikan pelajar, tetapi juga ibu bapa. Mereka tidak sabar-sabar mahu menyaksikannya. 

“Sayang, pada saat akhir, tayangannya terpaksa ditarik balik atas sebab-sebab tertentu. Namun, malam itu masa tayangan digantikan dengan sesi dialog yang pada saya sangat menarik dengan maklum balas diberi,” katanya.

Filem Tanda Putera berdasarkan persahabatan akrab antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail mengenai cabaran dilalui apabila negara dalam keadaan kucar-kacir hingga membabitkan pergaduhan kaum dan meletusnya tragedi 13 Mei 1969. 

Ia paparkan bagaimana perdana menteri dan timbalannya menangani masalah dihadapi dan turut disulam sub plot menarik membabitkan kehidupan masyarakat majmuk ketika itu yang berganding bahu menjayakan setiap gagasan negara menuju ke arah negara membangun.


Tunjuk ajar Shuhaimi bantu Faezah, Linda

Di sebalik kejayaan lelaki, ada wanita menjadi sumber kekuatan di belakangnya. Begitulah watak dijayakan dua pelakon berbakat, Faezah Elai sebagai Tun Rahah, mantan wanita pertama dan isteri Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak serta Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin) dalam Tanda Putera.

Melakonkan watak masih hidup tanpa banyak sumber rujukan membuatkan kedua-dua pelakon wanita ini berdepan cabaran besar. Apatah lagi, karya dijayakan mereka bakal disaksikan ahli keluarga dua tokoh negara itu.

Faezah berkata, dia terpaksa melakonkan wataknya hanya berdasarkan pembacaan dan penerangan diberi Shuhaimi selaku pengarah.

Bahan rujukannya hanya berdasarkan sedutan Tun Rahah pergi mengundi. Selebihnya hanya menerusi pembacaan tetapi sebagai pengarah, Shuhaimi banyak memberi tunjuk ajar. 

“Sebelum menghasilkan filem ini, Shuhaimi terlebih dulu membuat kajian mendalam mengenai jalan cerita mahupun watak dan perwatakan. Jadi saya banyak bergantung penuh kepadanya untuk menjayakan watak ini.

“Sewaktu menjalani sesi latihan sebelum penggambaran dimulakan, Shuhaimi membimbing bagaimana hendak melakonkan watak itu berdasarkan situasi berlaku.

“Shuhaimi juga sering bertanya adakah relevan saya melakonkan satu-satu babak itu. Apabila dia bertanya, ia membuatkan saya berfikir dan akhirnya apabila penggambaran dimulakan, saya benar-benar faham. Penggambaran juga berjalan lancar kerana setiap pelakon tahu apa harus dilakukan,” katanya.

Babak paling mencabar dilalui Faezah ketika berada di sisi suami yang sakit dan hanya dimaklumkan oleh doktor yang suaminya menghidap penyakit bahaya pada saat-saat akhir atas permintaan suaminya. Alasan diberi kerana mahu dia tabah dan kuat demi anak.

Bagi Linda, dia tidak menghadapi masalah berlakon di samping Zizan mahupun Rusdi kerana mereka sering digandingkan dalam drama.

Begitupun, katanya, menjayakan watak Toh Puan Norasyikin tentu banyak bezanya kerana ia membabitkan tokoh yang benar-benar wujud, berbanding sebelum ini memainkan watak mengikut imaginasi.

“Tidak banyak rujukan dapat saya buat selain membaca dan melihat apa yang ada di carian laman sesawang mahupun dimuat naik dalam laman sosial.

“Selaku pengarah, Shuhaimi banyak menjelaskan lebih lanjut mengenai watak harus saya bawa. Ini kerana dia bertemu ahli keluarga Tun Dr Ismail bagi mendapatkan gambaran sebenar karakter Toh Puan Norasyikin,” katanya.

0 comments:

Post a Comment