Anggota bomba dan agensi lain berkumpul di jeti bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Gambar kecil: Muhammad Badrul Amin.
MANONG – “Dalam, dalam.” Itu jeritan terakhir seorang mangsa lemas, Muhammad Fais Norisham, 14, di saat dia terkapai-kapai sebelum tenggelam ketika mandi-manda di sebuah sungai di Kampung Mandah, di sini, semalam.
Bapa mangsa, Norisham Ishak, 39, dia yang berada di tempat kejadian sewaktu kejadian, dia sempat terjun ke sungai bagi menyelamatkan anaknya.
Tetapi malang, usaha tersebut gagal kerana Fais sudah tenggelam dan gagal dikesan.
“Masa anak saya lemas, saya memang ada berhampiran dengan dia dan melihat dia serta empat orang lain mandi bersama di sana.
“Tiba-tiba, saya dengar Fais jerit ‘..dalam, dalam..’ dan saya nampak tangan dia terkapai-kapai sebelum dia tenggelam. Sepupu dia, Badrul cuba nak selamatkan dia tapi dia juga turut lemas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, dua remaja, Muhammad Fais, 14 dan Muhammad Badrul Amin Muhammad Nazri, 17 maut sewaktu sedang bermandi-manda di Sungai Perak, di sini.
Mayat Badrul telah dijumpai satu kilometer dari tempat kejadian manakala mayat Muhammad Fais masih belum dijumpai setakat jam 8 malam, semalam.
Ketika menceritakan kejadian, Norisham memberitahu kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan ia berlaku di hadapan matanya serta ahli keluarganya yang lain.
“Masa itu memang ramai saudara mara ada di sini melihat mereka mandi. Masa mereka lemas, kami cuba untuk membantu tapi tidak berjaya kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
“Saya gunakan bot yang ada di situ dan berjaya menyelamatkan seorang daripada mereka. Dia selamat pun sebab berpaut pada bot. Masa itu kami nampak kepala hanyut tapi tak tahu siapa yang hanyut itu,” katanya.
Dia yang kelihatan sugul berasa sedih dan terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan anak ketiganya itu dari lemas.
Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang kebetulan lalu di situ bertindak membantu mangsa apabila melihat keluarga mangsa menjerit meminta tolong dan ada antara mereka yang menangis.
Saya terus capai buluh dan hulur pada salah seorang mangsa. Dia dapat berpaut pada buluh itu dan saya tarik dia bawa ke tepi. Saya lihat ada juga orang kampung yang cuba selamatkan mangsa yang lain,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat diketuai pasukan Bomba dan Penyelamat dari Kuala Kangsar serta Ipoh dan dibantu agensi penyelamat lain.
Arus deras sukar operasi menyelamat Ketua Balai Bomba Kuala Kangsar, Ismail Darus menjelaskan pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengesan mangsa disebabkan arus air yang deras.
“Daripada maklumat yang kami terima, seorang mangsa telah berjaya ditemui dan kami masih mencari seorang lagi mangsa.
Agak sukar kerana arus deras membuatkan kedudukan mangsa sukar dikesan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad pula berkata, mangsa pertama dijumpai pada jam 4.01 petang oleh orang kampung ketika mereka memeriksa pukat.
“Mayat mangsa pertama dijumpai tersangkut di pukat yang dipasang penduduk kampung yang berada satu kilometer dari tempat kejadian.
“Kemudian mereka memberitahu keluarga mangsa dan keluarga mereka melakukan pengecaman dan mengesahkan itu adalah Muhammad Badrul Amin,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair- Il Anuar Wan Ahmad dan Adun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman turut hadir ke tempat kejadian bagi meninjau keadaan.
Wan Khair-Il juga menyaran ibu bapa supaya memantau setiap pergerakan anak mereka ketika mereka pulang ke kampung yang terletak berhampiran dengan sungai.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua agensi penyelamat yang terlibat dalam operasi menyelamat pada hari ini (semalam). Tapi mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini.
“Jadi kalau ada Jambatan Manong, pasukan penyelamat boleh sampai 30 minit lebih awal ke sini. Saya harap pihak kerajaan dapat mempercepatkan pembinaan Jambatan Manong supaya dapat pasukan penyelamat dapat membantu dengan lebih cepat,”
katanya.
0 comments:
Post a Comment