KANGAR – Seorang pemandu lori, Mohamad Riduan Abu Hamid, 26, yang sedang mencari adik perempuannya, Noraini, 20, di sekitar Kuala Lumpur berdepan nasib malang apabila disamun tiga lelaki yang menyamar sebagai polis pada jam 5.30 pagi, Sabtu lalu.
Menurut Mohamad Riduan dari Kampong Charuk Kelian, Baling, Kedah, ketika kejadian dia sedang berehat di sebuah pondok di Taman Tasik Titiwangsa setelah penat menjejak adiknya yang lari dari rumah beberapa hari lalu.
“Tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja warna kelabu berhenti berhampiran pondok tempat saya sedang berehat, dua lelaki yang keluar dari kereta tersebut menghampiri saya sambil memperkenalkan diri mereka polis.
“Kemudian mereka meminta kad pengenalan serta memeriksa beg sandang saya sebelum mereka terus melarikan diri bersama beg saya.
“Beg berkenaan mengandungi sebuah komputer riba, kamera digital jenama Sony, telefon bimbit dan pelbagai kad ATM dan wang tunai RM200,” katanya.
Dia berkata demikian ketika dalam perjalanan ke rumah saudaranya di Langkawi, semalam.
Selepas kejadian itu Riduan mengambil keputusan untuk berhenti mencari adiknya dan terus ke Balai Polis Setapak, Sentul untuk membuat laporan polis.
Katanya, dia mengalami kerugian kira-kira RM3,000 akibat kejadian itu. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment