KUALA LUMPUR – DAP memberi jaminan parti itu akan mematuhi apa jua keputusan Mahkamah Tinggi esok berhubung permohonan injunksi oleh Naib Pengerusi DAP cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass bagi menghalang DAP daripada mengadakan Kongres Khas Parti itu pada Ahad ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu tidak akan meneruskan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September melalui Kongres Khas DAP jika mahkamah membuat keputusan tidak membenarkan parti itu berbuat demikian,
“DAP akan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sama ada DAP boleh mengadakan pemilihan semula pada hari Ahad 29 September ini 2013 melalui sebuah Kongres Khas Kebangsaan sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Parti DAP.
“Seandainya mahkamah membenarkan perintah injunksi, maka Kongres Khas tidak boleh diteruskan pada hari Ahad untuk mengadakan pemilihan semula,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
David memfailkan permohonan itu pada 10 September lalu bagi menuntut perintah injunksi menghalang Guan Eng dan DAP daripada mengadakan kongres khas pada 29 September ini atau pada bila-bila tarikh kemudian untuk melantik CEC.
Selain injunksi, David selaku pihak plaintif memohon beberapa deklarasi supaya mahkamah mengisytiharkan pelantikan 20 ahli CEC hanya boleh dibuat melalui pemilihan dalam Kongres Kebangsaan Parti menurut Fasal VIII Perkara 5(d) Perlembagaan Parti.
Karpal Singh sebagai peguam bagi Guan Eng dan parti bagaimanapun memohon supaya permohonan injunksi pihak plaintif ditolak memandangkan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan tuntutan mahupun permohonan tersebut.
0 comments:
Post a Comment