KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memperlekehkan kemampuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan selaku menteri yang bertanggungjawab dalam soal integriti.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mendakwa, usaha kerajaan untuk memperbaharui sistem pentadbiran negara dengan hanya membawa masuk bekas Presiden Transparency International (TI) Malaysia dalam kabinet tidak signifikan bagi mencapai hasrat tersebut.
“Ia satu usaha yang tidak signifikan kerana mendahulukan kulit daripada isi. Menukar individu tanpa melakukan perubahan polisi yang dapat melawan rasuah secara efektif hanyalah seperti ‘mengisi wain lama ke dalam botol baru’,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Guan Eng mendakwa, kerajaan sepatutnya mengariskan enam perkara yang perlu dilaksanakan bagi membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran yang bersih daripada sekadar mengambil Seng Kuan sebagai menteri.
Dakwanya, enam perkara itu adalah menginstitusikan pengisytiharan harta secara umum bagi ahli Kabinet, Ketua Menteri, Menteri Besar dan Exco dengan pengesahan oleh firma perakaunan antarabangsa.
Perkara seterusnya adalah dengan melaksanakan tender terbuka, menghalang ahli keluarga pemimpin kerajaan terlibat dalam kontrak kerajaan, melindungi pemberi maklumat, memecat pemimpin yang mempunyai gaya hidup mewah dan telus tentang derma-derma politik.
0 comments:
Post a Comment