Muhammad Aziem (kiri) menyelamatkan adiknya daripada rentung dalam kebakaran.
JEMPOL – Seorang kanak-kanak sanggup berpatah balik masuk dalam rumah mereka yang sedang terbakar semata-mata mahu menyelamatkan adiknya.
Dalam kejadian di Taman Serting Utama, di sini kira-kira 6 pagi kelmarin, Muhammad Aziem Hakimi Nor Azman, 9, bertindak nekad selepas mendapati adiknya, Muhammad Adam Hariz, 6, tidak kelihatan ketika mereka sekeluarga sedang menyelamatkan diri.
Menurut Muhammad Aziem, dia menyedari kebakaran itu apabila pendingin hawa rumahnya tiba-tiba tidak berfungsi, selain menyangka ada penjenayah menyelinap masuk ke rumah mereka.
“Saya keluar dari bilik ternampak tingkap pecah dan api menyala di ruang tamu dekat televisyen. Tanpa lengah, saya terus cari ibu dan dua adik saya yang sedang tidur dalam bilik.
“Semasa kami lari selamatkan diri, ibu menjerit adik saya tidak ada di belakangnya. Saya nekad masuk semula ke rumah. Saya heret adik yang ketika itu masih mengantuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Sementara itu, ibunya, Noor Hashimah Haslan, 30, berkata, dia hanya memikirkan keselamatan anak-anak sahaja, dan sedih apabila melihat rumah yang dibelinya sejak sembilan tahun lalu musnah terbakar.
“Cuma, saya rasa lega anak-anak selamat, walaupun pagi tadi (semalam) keadaan begitu cemas, saya pula panik. Manakala jiran-jiran banyak membantu memadamkan kebakaran sementara menunggu bomba tiba,” katanya.
Suaminya, Nor Azman Musa, 30, seorang pemandu lori berkata, sebelum kejadian, dia berasa berat hati meninggalkan rumah untuk menghantar baja di Bandar Muazzam Shah, Pahang.
“Biasanya selepas makan, saya akan terus keluar bekerja menghantar barang. Namun, terlalu berat hati dan kebetulan saya menunggu kawan, saya tidur sebentar di pam minyak di Bandar Seri Jempol.
“Dua jam selepas itu sekitar 6 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada anak sulung memberitahu rumah terbakar. Mujur saya masih di kawasan berhampiran dan bergegas pulang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Ab Halim Kamis berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh tujuh minit sebelum padam sepenuhnya kira-kira 7 pagi. Manakala punca kebakaran masih dalam siasatan – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment