PADA 22 September lepas, seorang anggota kabinet berharap pengguna jalan raya lain memberikan laluan kepada anggota polis trafik pengiring yang sepatutnya menjadi budaya rakyat Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek berkata pemimpin negara yang diiringi polis perlu sampai ke sesuatu destinasi pada masa yang tepat untuk melaksanakan tugas-tugas rasmi.
“Saya mendapat aduan mengatakan bila para pemimpin kita menggunakan jalan raya, para pemandu tidak memberikan laluan. Ia perlu dihentikan, menunjukkan rasa hormat kepada pimpinan kerajaan ialah sebahagian budaya kita,” katanya dalam satu sidang media di Georgetown, Pulau Pinang.
Menurut laporan The Sun Daily, di Malaysia para pengguna jalan raya perlu memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, bomba mengikut peraturan tetapi memberi laluan kepada anggota polis pengiring juga perlu diamalkan dengan baik.
Inilah kali pertama seorang anggota kabinet mengeluarkan kenyataan berbunyi begini kepada media. Pada kami yang menggunakan jalan raya, memang pemandu memberikan laluan jika anggota polis pengiring yang mengiringi Perdana Menteri dan Yang diPertuan Agong menggunakan jalan raya.
Perdana Menteri UK Kurangkan Jumlah Anggota Pengiring
Kalau di United Kingdom, Perdana Menteri David Cameron mengambil langkah mengurangkan bilangan anggota polis pengiring dengan anggapan melepasi kesesakan lalu lintas menggunakan pengiring ialah suatu jenis ‘kesombongan’.
Menurut beliau, polis pengiring hanya akan digunakan untuk majlis-majlis yang memerlukan keselamatan tinggi.
Untuk masa lain, Cameron akan menggunakan kereta rasmi kalir peluru jenis Jaguar yang tidak mempunyai tingkap yang digelapkan dan akan menempuh trafik seperti orang ramai lain.
Mengintai sejarah, ketika Tony Blair menjadi Perdana Menteri, sebuah laluan bas dari Heatheow ke London dinamakan sempena nama beliau Blair Lane.
Laluan sepanjang 5.6 kilometer itu merupakan laluan yang digunakan oleh Blair bersama ahli kabinetnya bersama polis pengiring bagi menghindari trafik yang sesak.
Media di UK menyamakan laluan khusus itu sebagai laluan ‘Zil’ yang merupakan laluan khusus untuk pegawai atasan Kremlin ketika zaman Kesatuan Soviet Komunis.
Bekas PM Britain Gordon Brown Cetus Kemarahan Orang Ramai
Pada Februari 2010, Perdana Menteri UK ketika itu Gordon Brown mencetuskan kemarahan orang ramai selepas polis pengiringnya mengarahkan kereta ke tepi supaya beliau boleh melepasi keadaan trafik yang sangat sesak.
Disebabkan pemandu yang tidak berpuas hati, apabila mereka diarahkan untuk mematuhi had laju 80km sejam dan diarahkan ke tepi bagi memberi laluan kepada Brown yang bergerak dengan kelajuan 90km sejam, keesokan hari di akhbar, penuh dengan maklumbalas kemarahan dari orang ramai.
Era Cameron Berbeza
Ketika majlis angkat sumpah yang diadakan di Istana Buckingham, Brown sampai dengan polis pengiring, manakala pengganti beliau, David Cameron sampai tanpa iringan polis.
Ini membuatkan beliau jauh lebih bijak dalam memenangi hati para pengundi. Di dalam satu poll terbaru menunjukkan Cameron mengatasi pesaing-pesaingnya untuk Pemerintah Britain paling dipercayai.
Cameron turut memperkenalkan kod kementerian baharu yang mana objektifnya mensasarkan untuk mengurang perbelanjaan awam dan membina keyakinan orang awam, dengan menghadkan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Menteri-mentei dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi untuk hal-hal kerja rasmi dan untuk pergi dan pulang antara rumah dan pejabat di dalam jarak perjalanan yang berpatutan, dengan kefahaman membawa bersama kertas-kertas dan dokumen-dokumen yang rasmi (rahsia). Jika boleh, menteri-menteri digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam.”
Cameron sendiri dilihat kadang-kadang menggunakan pengangkutan awam, tanpa rombongan.
Isu berkaitan anggota polis pengiring ini baru sahaja ditimbulkan oleh Hasan tetapi atas dasar apa? Rakyat Malaysia setakat ini tidak mempunyai masalah dengan anggota polis pengiring kerana faham dengan tugas anggota pimpinan kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri kerap memandu sendiri pada hari-hari tertentu tanpa melibatkan anggota polis pengiring untuk menjalankan aktiviti beliau bersama keluarga seperti bersarapan.
Hasan Malek pula yang pertama membuka mulut berkenaan isu ini.
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS
0 comments:
Post a Comment