Bukan mudah mencipta nama di tempat orang, apatah lagi di negara yang berbeza adat, budaya dan bahasa. Perkara itu menjadi cabaran paling besar ditempuhi penyanyi popular Shila Amzah, 23, yang kini berulang alik dari Kuala Lumpur ke Shanghai, China bagi mengembangkan bakat dimiliki.
Kerjaya seni bintang muda itu mula berubah apabila muncul juara pertandingan Asian Wave yang mempertandingkan bakat penyanyi muda dari serata Asia.
Sempena Hari Kemerdekaan ke-56 yang disambut semalam, Shila yang dilahirkan pada 13 Ogos 1990, diberi penghargaan menjadi penghias muka depan Selebriti Metro Ahad minggu ini.
Bukan calang-calang penyanyi menyertai Asian Wave yang kali pertama dianjurkan dan disiarkan Dragon Televisyen (antara stesen popular di Shanghai), malah ada yang mencipta nama di negara masing-masing seperti Fiona Fung dari Hong Kong, Techin Chayuti (Thailand), Anirudh Bhola (India), Liang Yi-chen (Taiwan), Whee (Korea), Huo Zun dan Chang Shilei (China).
Kejayaan diraih Shila di pertandingan itu membanggakan rakyat Malaysia. Lebih penting, Shila mengharumkan nama negara dan membuktikan bakat anak tempatan juga hebat dan mampu bersaing dengan orang luar.
Selaku juara Asian Wave, Shila diberi kontrak untuk menjadi artis rakaman antarabangsa dan pengurusan kerjayanya kini ditangani Shanghai Media Group (SMG) selama lima tahun di sana.
Shila akui, selama setahun di China, bukan mudah untuk meriah kejayaan seperti diperoleh sekarang. Katanya, kejayaan ini berkat usaha syarikat pengurusannya, Shanghai Media Group (SMG) yang menyediakan rangka hala tuju kerjaya seninya.
“Setakat ini, ia berjalan lancar. Malah, saya baru menjayakan persembahan peringkat akhir China Idol, Sabtu lalu, dan ia membantu melonjakkan lagi nama saya di arena industri muzik di sana.
“Seperti diketahui umum, China sangat menjaga kepentingan rakyatnya. Malah, sekatan dilakukan kepada orang luar supaya apa yang mereka ada terpelihara dan tidak diganggu gugat.
“Sama seperti di Indonesia, industri muzik di China juga begitu. Mereka susah menerima bakat dari luar. Kerana mahu menjaga kepentingan rakyat dan pengkarya mereka, kerajaannya menghalang penggunaan media sosial dari luar.
“Apabila adanya pertandingan seperti Asian Wave, baru ruang dan peluang untuk orang lain memasuki negara itu terbuka,” katanya.
Sebaik pintu dibuka, penerimaan masyarakat di sana sangat baik. Single pertamanya di sini, Patah Seribu yang dirakam semula dalam bahasa Mandarin dan dipasarkan di sana, digemari ramai. Stesen radio di sana juga mula menyiarkannya dan penerimaan daripada peminat sangat menggalakkan.
“Bukan itu saja, lagu tema China Idol dendangan asal Kelly Clarkson, Moment Like This yang saya nyanyikan semula dalam bahasa Mandarin untuk dijadikan lagu tema pertandingan itu, turut menjadi hit dan digemari.
‘Saya bersyukur kerana segala usaha dilakukan pengurusan SMG menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Apa pun, berada di tempat asing seperti China pasti memberi banyak masalah kepada Shila. Bagaimanapun, sebagai anak Malaysia beragama Islam, Shila cuba menempatkan diri dan menyesuaikan dengan situasi. Paling utama, menjaga jati diri supaya tidak tergelincir dek kerana mahu memastikan dirinya diterima masyarakat di sana.
“Saya menerimanya sebagai cabaran dan melihat perubahan dilakukan pada sudut positif. Pertamanya, sudah tentu cara kerjaya di sana dengan masyarakat kita sangat jauh berbeza.
“Namun, saya suka kerana banyak perkara baru dipelajari. Cuma sebagai orang asing, saya perlu bersedia dengan segala perubahan.
“Kalau di sini, saya boleh berkata tidak jika tidak mahu melakukan sesuatu perkara, tetapi tidak di sana. Saya meletakkan diri saya sebagai orang baru yang masih hijau dan belajar merangkak untuk memahami selok-belok budaya kerja di sana.
“Saya tidak boleh ‘demand’ dan lebih penting, harus menjaga disiplin kerja supaya segala usaha diatur dapat dilakukan dengan jayanya. Begitu juga pegangan saya. Syukur, syarikat sedia maklum dan memahami.
“Begitupun, penampilan saya bertudung juga digemari ramai kerana menganggap ia unik dan menarik. Malah, ada pengalaman yang menyentuh perasaan sewaktu saya ditemukan dengan peserta China Idol.
“Seorang peserta beragama Islam datang kepada saya dan menyatakan perasaan bangganya dengan kejayaan yang saya kecapi. Sebagai orang Islam, dia mahu menjadikan saya sebagai sumber inspirasi.
“Allah Maha Besar. Mendengar kata-katanya membuatkan saya terharu dan ia menjadi sumber kekuatan untuk saya terus bertahan. Kerana saya percaya saya bukan bersendirian di sana,” katanya.
Mengenai komunikasi, jelas Shila, setakat ini dia masih belajar dan pihak pengurusan SMG turut menyediakan tenaga pengajar untuk melatihnya. Setakat ini, dia tidak menghadapi banyak masalah kecuali jika ada yang bercakap laju.
“Untuk memahami dialek Mandarin juga satu cabaran dan biasanya saya meminta mereka menggunakan bahasa Mandarin standard untuk memudahkan urusan,” katanya.
Walaupun sibuk dengan urusan di China, kerjaya seni di tanah air tidak pernah dilupakan. Shila yang pulang ke Kuala Lumpur, Rabu lalu, kini sibuk membuat persiapan bagi mengadakan persembahan mini konsert, di samping melancarkan album kedua.
Tegas Shila, tidak semestinya apabila mengembang sayap ke luar negara, peminat di sini harus ditinggalkan. Baginya, Malaysia tempat tumpah darahnya dan kerjaya seninya bermula di sini.
“Saya ada ramai peminat yang menyayangi dan terus menyokong saya. Tidak mungkin saya mahu meninggalkan mereka. Walaupun penat berulang-alik bagi menguruskan kerjaya seni di kedua-dua tempat, saya tidak akan melupakan Malaysia dan kerjaya seni di sini.
“Disebabkan itu, saya harus menghasilkan album bagi memastikan peminat tidak berasa dilupakan. Single terbaru, Masih Aku Cinta adalah strategi saya untuk itu,” katanya.
Mengenai Masih Aku Cinta yang dikaitkan dengan isu kontroversi cintanya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad, kata Shila, dia jenis manusia yang susah meluahkan perasaan hati kecuali menerusi karya dihasilkan.
Bagaimanapun, apa yang dicuba dikaitkan dengan dirinya itu dianggap perkara yang sudah berlalu.
“Kadangkala musibah diberikan Allah menjadi inspirasi kepada manusia. Saya anggap ia sebagai ujian. Nikmat berlebihan diberikan Allah juga satu ujian. Dugaan yang datang harus diterima dengan reda dan bermuhasabah diri supaya menjadi insan lebih baik.
“Kalau ada yang bertanya adakah lagu Masih Aku Cinta mempunyai kaitan dengan diri saya, yang boleh saya jelaskan, itu apa yang saya rasa ketika itu (putus hubungan dengan Sharnaaz). Namun kalau ada yang bertanya saat ini, terus-terang saya tidak mempunyai apa-apa perasaan.
“Seperkara lagi, saya tidak pernah menyimpan perasaan. Perkara yang berlaku biarkan berlalu. Saya akan melupakannya dan terus pandang ke depan. Pada saya, tumpuan harus diberi kepada perkara akan datang,” katanya.
PROFIL:
Nama sebenar: Nur Shahila Amir Amzah
Lahir: 13 Ogos 1990
Asal: Kuala Lumpur, Malaysia
Anak penyanyi popular 1980-an, ND Lala dan pelakon, Fauziah Sarman
Mula menyanyi ketika usia sembilan tahun dan album pertama, Terima Kasih Guru dilancarkan pada 2000
Bersama EMI, Shila hasilkan album Sha-hila (2005) dan 5 Jingga (2008)
Menang tempat kedua One In A Million pada 2007 dan ikat kontrak dengan Monkey Bone
Juara Asia New Singer Competition pada 2008
Album Bebaskan dipasarkan pada 2009
Akhir 2010, Shila bergabung dengan Ning Baizura dan Jaclyn Victor menghasilkan album 3 Suara
Single Patah Seribu mula menaikkan nama Shila
Muncul juara Asian Wave pada 20 September 2012, sekali gus mengubah nasib Shila
Shila menubuhkan syarikat sendiri, Shila Amzah Entertainment Bhd pada 12 Mac 2013
0 comments:
Post a Comment