Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, October 28, 2013

No Comment
Idris (dua, kanan) melihat koleksi dacing lama yang dipamerkan di Galeri Sejarah SMK Pelagat di Besut.

BESUT - Pihak pengurusan sekolah dinasihatkan berbincang dan mengambil langkah paling bijaksana sebelum melaksanakan apa jua aktiviti yang melibatkan keagamaan di sekolah supaya tidak menimbulkan isu.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, paling penting, perlu ada sifat hormat menghormati antara kaum dan agama, sejajar dengan keharmonian dan semangat yang menjadi amalan masyarakat di negara ini.

Menurutnya, meskipun tiada larangan khusus dibuat mengenai upacara keagamaan di sekolah, namun jika pendekatan diambil secara perbincangan dan menghormati kaum lain, banyak masalah dapat diselesaikan.

“Pada masa sama, semua pihak perlu akur dan menghormati agama serta budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak sekian lama dan tidak perlulah mengungkit-ungkit sensitiviti tertentu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ucapan dan Anugerah Kecemerlangan Seri Pelagat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat dekat Jertih di sini, semalam.

Idris berkata, dalam pada itu pihak yang menegur pula perlulah dengan cara yang betul dengan mengambil kira sensitiviti semua agama dan kaum.

“Paling penting, perlu ada sifat hormat menghormati dan prihatin supaya banyak masalah boleh diselesaikan dengan cara yang baik, tanpa menimbulkan apa-apa masalah dan isu membabitkan kaum yang tinggal di negara ini,” katanya.

Sementara itu di Kelantan, selepas majlis perasmian Karnival Kesenian dan Keusahawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Idris berkata, saluran lebih berhemah perlu digunakan untuk menegur pihak sekolah dan isu tersebut hanya masalah biasa namun diperbesarkan oleh orang luar, dan lebih memburukkan keadaan disebarkan pula dalam laman sosial Youtube.

“Bukan hanya di sekolah, malah ahli politik dan rakyat juga perlu lebih berhemah memandangkan kita hidup dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, jika tidak ia akan menjadi masalah,” tegasnya.

Mengulas isu Bajet 2014, beliau menyifatkan bajet terbesar yang diperuntukkan kepada bidang pendidikan membuktikan kerajaan komited untuk membudayakan ilmu dalam masyarakat bagi melahirkan kedudukan pendidikan terbaik di dunia.

Katanya, usaha yang dimulakan bermula peringkat prasekolah di samping meneruskan bantuan persekolahan dan bantuan Baucar Buku 1Malaysia turut membuktikan kerajaan prihatin kepada golongan miskin.

0 comments:

Post a Comment