Apabila melibatkan isu kesucian agama Islam, hikmah yang berlaku adalah bangsa Melayu dilihat bersatu tanpa mengira fahaman politik.
Mengambil contoh isu penggunaan kalimah Allah, setiap kali perbicaraan berlangsung dapat dilihat ruang Istana Kehakiman dipenuhi ratusan orang, terutama mewakili NGO tertentu melibatkan Melayu dan Islam.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) boleh dikatakan mengepalai kumpulan ini memandangkan ia sentiasa mengumpulkan ahli teramai bagi menyatakan pendirian berhubung isu kalimah Allah sejak dua perbicaraan awal lagi.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya menyatakan, pada hari ini sahaja hampir 500 ahli Perkasa Selangor hadir bagi menyatakan pendirian. Masing-masing datang menggunakan kenderaan sendiri dari seloroh pelosok negeri.
Sokongan ahli Perkasa dari negeri lain turut ditunjukkan dengan kedatangan 15 bas dari Pulau Pinang dan 10 bas dari Kedah yang tiba sejak malam semalam.
“Alhamdulillah, kesemua ahli Perkasa gembira dan menyambut baik keputusan mahkamah pada hari ini.
“Kami tidak anti Kristian atau agama lain, apa yang diminta cuma jangan melakukan sesuatu yang boleh memecahbelahkan penganut Melayu beragama Islam,” ujar Abu Bakar.
NGO lain yang turut hadir adalah lebih 50 ahli Persatuan Seni Silat Gayung Makrifat Malaysia diketuai guru utama, Datuk Dr. Azam Zulkifli dan Presiden, Malek Redzuan Hashim.
Ini merupakan kali kedua persatuan yang beribu pejabat di Melati Utama, Setapak ini datang pada perbicaraan isu kalimah Allah. Selain sekitar Lembah Klang, ada ahli yang datang dari Johor dan Pahang semata-mata bagi tujuan ini.
“Hamba bersyukur kita menang kali ini. Tapi isu ini tidak sepatutnya dibicarakan sejak awal lagi sebab ia adalah hak mutlak orang Melayu beragama Islam,” kata Yang Di Pertuan Armada Malaiu, Mass Ahmad Kamal Shafiee.
Setiausaha Persatuan Muka Buku Pulau Pinang, Farhan Abdul Wafi pula menyifatkan, keputusan hari ini satu berita yang amat menggembirakan apatah lagi esok merupakan Hari Raya Aidiladha.
“Segala keraguan telah terjawab dengan keputusan terbaik. Saya tidak dapat nak gambarkan kegembiraannya,” ujar Farhan yang datang menaiki salah satu daripada 5 bas yang membawa kira-kira 200 ahli lain dari Pulau Pinang.
Dalam pada itu, terdapat juga individu yang cukup terkesan dengan isu kalimah Allah hingga sanggup datang bersendirian bagi mendengar keputusan hari ini.
Salah seorangnya Aidid Taib, dari Kajang yang siap bertanjak merah. Malah ujarnya kepada Mynewshub, dia memakai persalinan tradisi Melayu yang lebih lengkap ketika datang mendengar keputusan perbicaraan sebelum ini.
“Saya datang sebagai umat Islam. Bagi saya tak ada masalah jika pihak gereja nak gunakan kalimah Allah tapi bila ia digunakan dalam terjemahan Bible Berbahasa Melayu, saya melihat ada agenda lain di situ.
“Kalau Bible itu bukan untuk bacaan bangsa Melayu, untuk siapa lagi? Sebab itu saya tak setuju,” kata Aidid.
Mahkamah Rayuan hari ini, memutuskan akhbar mingguan berbahasa Melayu, Herald dilarang menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada tuhan bagi agama Kristian.
Keputusan ini sekaligus membatalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. - REM RAMZI
0 comments:
Post a Comment