SUDAH menjadi lumrah apabila berada di puncak kejayaan, ramailah yang datang mengaku sahabat biarpun sebelum ini mereka hanya memandang dengan sebelah mata sahaja.
Itulah yang dialami oleh bintang realiti X Factor, Sam Callahan, 19, yang pernah mengalami pengalaman hitam dibuli di sekolahnya suatu ketika dahulu.
Dalam kejadian itu, pembulinya bertindak menjatuhkan dia ke tanah sebelum menyepak mukanya dengan kasut bola dalam satu serangan ganas.
“Saya dibuli dengan teruk sewaktu tahun pertama di sekolah menengah sehingga terpaksa berpindah ke sekolah lain.
“Ia merupakan buli secara lisan dan fizikal. Saya dipukul dengan teruk memandangkan tubuh saya agak kecil pada waktu itu. Polis juga terpaksa dipanggil bagi menyelesaikan perkara tersebut, namun tiada sebarang dakwaan dikenakan terhadap pembuli yang berusia 16 tahun itu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, mereka yang membulinya juga kerap memangilnya ‘gay’ dan mengejeknya kerana kecenderungannya terhadap dunia nyanyian.
Bagaimanapun, kini mereka mula menghubunginya seolah-olah kawan lama dan mengajak untuk melepak bersama.
“Saya sudah dewasa, tiada apa untuk saya dendamkan,” jelas Callahan.
Remaja itu yang kini sedang berjuang untuk kekal dalam rancangan realiti nyanyian di Britain itu kerap kali mengagumkan juri dan penonton dengan persembahan yang cukup bertenaga.
Kalau penulis jadi Callahan, jangan haraplah untuk melayan orang yang pernah menjatuhkan kita suatu ketika dulu sebab golongan sebegini biasanya menunggu masa untuk melihat kita jatuh semula.
Oleh: ELZA
0 comments:
Post a Comment