Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, October 23, 2013

No Comment

YAN – Penyokong calon-calon parti yang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, terutama mereka yang datang dari luar kawasan itu, diingatkan supaya menghormati budaya setempat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, masyarakat Sungai Limau amat menghormati sesama mereka, dan untuk itu para penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS yang datang dari luar kawasan itu perlu menghormati budaya murni penduduk setempat.

“Saya berharap penyokong-penyokong terutamanya dari luar menghormati budaya di sini kerana masyarakat kampung di Sungai Limau amat menghormati nilai-nilai murni,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau di Dewan Dato’ Madi, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata SPR berpuas hati dengan persiapan pilihan raya kecil Sungai Limau dan berharap proses itu berjalan lancar dari tempoh berkempen sehingga hari pemilihan pada 4 November ini.

Sementara itu, keadaan lalu lintas di sepanjang jalan utama di Jalan Pantai Murni menuju ke pusat penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Dato’ Madi terkawal dan lancar pagi ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan penamaan calon bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan berada dekat dengan pusat penamaan calon. Unit Udara Polis Diraja Malaysia akan memantau proses dan pergerakan dari udara bagi memastikan keselamatan terjamin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad turut menasihatkan penyokong kedua-dua parti yang bertanding agar menghormati budaya setempat.

Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment