Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, October 30, 2013

No Comment

ISU kewangan sering menjadi igauan dalam kehidupan graduan lepasan universiti. Ditambah pula dengan ekonomi Malaysia yang tidak stabil masa kini, sistem pengurusan kewangan menjadi semakin tidak terurus kepada golongan muda.

Mana tidaknya, ketika di usia muda dan dalam keadaan ekonomi diri yang tidak stabil, para graduan terpaksa menanggung pelbagai hutang seperti pembayaran semula pinjaman pelajaran, pinjaman kereta, sewa rumah, kad kredit dan pelbagai lagi. Jika kita membuat anggaran, gaji purata graduan adalah dalam lingkungan RM1,800 ke RM2,500 sebulan. Bebanan yang ditanggung mereka ini akan menjadi semakin serius bukan sahaja kepada golongan muda malah mereka yang berada di kelas pertengahan apabila mereka memikirkan harga rumah yang melambung tinggi hari demi hari.

Harga rumah masa kini boleh dikatakan semakin ‘tidak rasional’ terutamanya di kawasan Lembah Klang, Shah Alam dan pusat-pusat bandar apabila pemaju perumahan dilihat sewenang-wenangnya menaikkan harga rumah. Mana tidaknya, dengan permintaan yang tinggi, pemaju yakin harga mereka letakkan terpaksa ditanggung pembeli walaupun sebiji rumah teres mampu mencecah ratusan ribu ringgit. Bukan itu sahaja, ia juga menjadi bebanan apabila purata pendapatan isi rumah tidak setimpal dengan bayaran pinjaman perumahan.

Menurut Pensyarah Kanan Pemasaran, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Nor Hashima Hashim, graduan lepasan universiti tahu akan bebanan yang bakal dihadapi mereka tetapi gagal untuk membuat perancangan serta pengurusan awal akibat mengamalkan sikap tunggu dan lihat.
“Harga rumah sentiasa naik, tidak menurun. Harga bahan-bahan binaan dan tanah kita tahu memang mahal hari demi hari. Potensi untuk harga rumah naik amat tinggi. Mungkin di peringkat awal mereka boleh menetap dengan ibubapa atau menyewa,” cadang Hashima.

Apabila dipersoal berkenaan kewajaran untuk mereka lari dari masalah dengan menetap di kawasan luar Bandar, Hashima melihat ia satu alternatif namun ada perkara lain yang boleh dijadikan alternative bijak.
“Kalau mencari (rumah) yang murah memang boleh ke luar bandar, tetapi kalau boleh cari kerja yang boleh dibuat dari rumah kerana masa kini banyak kerja boleh dibuat dari rumah atau duduk di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang mudah seperti kemudahan tren aliran ringan (LRT) atau bas,” jelas Hashima.

Pada masa yang sama, Hashima turut melahirkan kekecewaan beliau apabila golongan muda pada masa kini menjadikan ‘beli kereta’ itu satu budaya tanpa mereka pelbagai bebanan akan ditanggung oleh mereka. Malah dalam kajian yang dibuat membuktikan majoriti pelajar yang baharu menamatkan pengajian akan membeli kereta berbanding membuat perancangan dan penyusunan ekonomi diri mereka.
“Kebanyakannya akan membeli kereta tetapi mereka tidak sedar apabila mereka membeli kereta mereka perlu membayar duit minyak, cukai jalan, tol, parkir kereta, servis dan pelbagai lagi yang sememangnya mereka terpaksa mengeluarkan wang. Seolah-olah menjadi budaya, tamat pengajian mereka akan membeli kereta. Sekurang-kurangnya suku daripada gaji bulanan yang diterima pergi kepada kenderaan anda,” ujar Hashima.

Beliau yang juga penganalisa ekonomi mencadangkan supaya golongan muda yang baru membina kerjaya untuk menyimpan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada gaji bulanan  sebagai simpanan kecemasan ‘contingency’ bagi memastikan mereka mempunyai dana yang kukuh sebelum membeli kereta dan rumah. Bukan itu sahaja, beliau turut menggalakkan golongan muda untuk bekerja sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga ke lima tahun sebelum membuat sebarang pinjaman perumahan mahupun pinjaman peribadi.
“Mereka perlu tahu dengan status ekonomi yang dihadapi mereka. Jangan mudah dikaburi dengan benda-benda yang mahal. Mereka juga perlu bijak dalam membuat keputusan terutama dalam isu pembelian rumah,” tambah Hashimah.

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan  rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta penduduk Selangor yang mana kira-kira 1.56 juta penduduk adalah miskin dan 1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.

Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengawal kenaikan harga rumah? Wajarkah menjadikan harga barangan binaan sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk akal rumah yang dibina?. Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menambah baik sistem pengangkutan awam di negara ini kerana sedikit sebanyak ia mampu meringankan bebanan kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah yang rendah mahupun sederhana. Justeru, para graduan haruslah membuat penilaian serta keputusan yang bijak bagi memastikan mereka tidak disenarai hitam sekligus menjerat diri mereka sendiri.

*Dr Nor Hashima Hashim merupakan Pensyarah Kanan (Pemasaran) di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Lepasan Doktor Falsafah dari Universiti Malaya, MBA (University of Missouri at Kansas City, Missouri, USA), dan BSc (Northwest Missouri State University, Marysville, Missouri, USA)

Oleh: HARITS ASYRAF

0 comments:

Post a Comment