PENYANYI Tomok dan komposer AG (Coco) diberi tanggungjawab dalam mengalas tugas sebagai juri tetap dan tenaga pengajar dalam program realiti kanak-kanak Idola Kecil musim ke enam.
Penerbitnya, Kamarul Zariman Abd Rahman, 30, berkata, pemilihan kedua-dua selebriti muda ini adalah bagi memberi nafas baharu dan segar dalam membentuk ikon kanak-kanak.
“Tomok dan AG merupakan pemuzik yang masih muda dan banyak idea-idea baru dalam membentuk bintang muda yang kita cari.
“Kita mahu hasil pencarian dan penghasilan produk yang lebih segar berbanding musim-musim sebelum ini,” katanya pada sidang media Idola Kecil 6, di e@Curve Damansara, di sini, Selasa.
Tambahnya, Tomok dan AG Coco bertanggungjawab dalam menilai dan membimbing peserta sepanjang program berlangsung.
Selain itu, turut terlibat sebagai tenaga pengajar ialah guru vokal Fadlita Mohd Taib dan guru tari Fuzzwayne daripada kumpulan Elecoldxhot.
Tambahnya, 11 orang peserta terbaik telah dipilih dari tiga lokasi iaitu di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Walaupun kali ini kami menjelajah ke tiga lokasi sahaja, namun kami berpuas hati kerana para peserta yang hadir menampilkan vokal yang berkualiti.
“Malah ada beberapa peserta kanak-kanak ini yang mempunyai bakat bermain alat muzik serta menari menjadikan ia sebagai bonus kepada mereka untuk berada dalam industri hiburan tempatan,” katanya.
Peserta yang terpilih iaitu Abdul Razzaq Muqri Abdul Qahhar, 12, Aby Norlila Kamaruddin, 12, Aida Syazlina Azmi, 11, Ammierul Daneal Eddy, 12, dan Danial Cheur, 12.
Turut terpilih Muhammad Aliff, 12, Nur Afreena Saiful, 12, Nor Allleya Edwan, 10, Nur Emilia, Natasha, 11, Razin Aiman, 12, dan Shafiqah Amira, 12.
Sementara itu, Alif Satar masih lagi kekal sebagai pengacara berikutan keserasiannya dalam mengendalikan program kanak-kanak ini.
Idola Kecil 6 akan mula disiarkan di TV9 menerusi episod pengenalan pada Sabtu, 9 November depan. – mStar
0 comments:
Post a Comment