Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, November 20, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 peratus muka baharu dipilih menganggotai barisan exco Pergerakan Puteri Umno bagi penggal 2013-2016.

Ketua Pergerakan itu Mas Ermieyati Samsudin berkata dengan barisan baharu itu, Puteri Umno akan memberi tumpuan kepada memberi lebih banyak pendedahan untuk mereka termasuk mengadakan latihan berbentuk kepimpinan.

“Mereka juga akan diberi kursus mengenai sejarah dan hal ehwal pergerakan ini supaya mereka faham perjuangan Puteri,” katanya pada pengumuman pelantikan exco baharu sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Rabu.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat pertama pergerakan itu selepas memenangi jawatan Ketua Puteri pada pemilihan parti Oktober lepas.

Menurutnya beliau yakin kesepaduan exco pergerakan itu dapat membantu usaha untuk menarik sokongan terhadap Barisan Nasional khususnya daripada generasi muda.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati berkata Puteri Umno akan mempergiat usaha menambah keanggotaan dalam pergerakan itu menerusi kempen ‘Puteri Untuk Umno, Puteri Harapan Umno’ dengan sasaran 500,000 anggota baharu.

Setakat 15 Nov lepas, Puteri Umno mempunyai 368,481 anggota.

Ditanya mengenai mesyuarat pertama Puteri, Mas Ermieyati berkata tiga agenda utama dibincangkan iaitu keanggotaan baharu, ejen pemilih baharu dan program pembangunan sahsiah bagi memperkasa agama, ekonomi serta sosial.

Selain itu, pergerakan itu juga membincangkan gerak kerja bagi Tabung Bencana Mangsa Taufan Haiyan, kempen derma darah serta pencarian bakat.

Dalam pada itu, beliau juga menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa anggota perwakilan akan diberi kebebasan membahas usul pada Perhimpunan Agung Umno 2013 dari 2 hingga 7 Dis ini.

“Ini memberikan ruang untuk perwakilan berhujah dan menyuarakan idea… sikap keterbukaan ini menunjukkan Umno mengambil positif apa jua pandangan walaupun ia mungkin pedas untuk didengar,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment