Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, November 20, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Observatori Negara Langkawi Agensi Angkasa Negara (AAN) berjaya merakam imej dua komet pada 14 November lalu iaitu Komet C/2012 S1 (Ison) dan Komet C/2013 R1 (Lovejoy).

AAN dalam satu kenyataan media memberitau, Komet C/2012 S1 (Ison) mula dikesan pada September 2012 tetapi pada waktu ketika itu ia masih berada jauh daripada Matahari dalam perjalanannya memasuki Sistem Suria dan ia diramalkan berpotensi untuk menjadi sangat terang pada Disember 2013 sehingga mudah dilihat dengan mata kasar.

“Pada separuh pertama bulan November kecerahan komet Ison meningkat secara perlahan daripada yang dijangkakan, tetapi pada pertengahan November kecerahannya tiba-tiba meningkat dengan mendadak dalam tempoh 24 jam. Sejak itu kecerahannya semakin hari semakin meningkat kerana ia semakin mendekati Matahari.

“Ia kini dilaporkan berkecerahan magnitud lima dan mampu dilihat dengan mata kasar dari lokasi yang gelap. Oleh kerana komet Ison kini semakin menghampiri Matahari, pagi 21 November adalah hari paling baik untuk melihat komet ini iaitu pada waktu sebelum subuh pada ketinggian lebih kurang 10 darjah dari ufuk timur. Selepas itu ia akan menjadi terlalu rendah bagi kebanyakan orang untuk melihatnya.



“Pada 28 November, komet Ison akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Matahari. Pada masa ini peluangnya untuk meneruskan perjalanan merentasi Sistem Suria atau akan terus ‘ditelan’ Matahari masih tidak diketahui. Jika terselamat maka kita akan terus berpeluang untuk melihat komet ini sehingga Disember 2013 nanti,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, kata kenyataan itu, komet C/2013 R1 (Lovejoy) mempunyai kecerahan magnitude enam dan mampu dilihat dengan mudah melalui teleskop kecil atau teropong.

Komet itu dikesan pada 9 September 2013 oleh seorang pencerap dari Australia iaitu Terry Lovejoy yang turut menemukan empat buah lagi komet lain.

Kata kenyataan itu, pada waktu ditemui, komet Lovejoy masih berada pada kecerahan magnitud 14 dan ia dijangka mencecah kecerahan sehingga magnitud empat dan mudah dilihat dengan mata kasar di kawasan gelap pada akhir November 2013.

Komet itu mendekati Bumi pada jarak 61.4 juta kilometer pada 19 November lalu dan kini bergerak mendekati Matahari dan akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Matahari pada 25 Disember 2013.

“Komet Lovejoy kini berada pada ketinggian yang baik untuk dicerap iaitu sekitar 35 hingga 45 darjah dari ufuk timur laut kira-kira sejam sebelum matahari terbit sehingga akhir November 2013,” jelas kenyataan itu.

0 comments:

Post a Comment