Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, November 11, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong pendirian tegas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk meneruskan penguatkuasaan larangan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda 38mm ke bawah sejak 1 November lalu meskipun mendapat bantahan pihak tertentu.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak boleh tunduk kepada tekanan yang digerakkan oleh sekumpulan pengusaha dan nelayan bot pukat tunda tersebut sebaliknya menguatkuasakan larangan itu dengan lebih tegas.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan larangan ini secara berkesan agar masa depan sektor perikanan negara tidak tergugat dan pengguna mendapat bekalan ikan yang cukup dan tidak membebankan.
“Penggunaan mata keroncong pukat tunda bersaiz kecil menyebabkan sumber perikanan negara berkurangan. Sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus anak ikan (benih ikan) yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 November lalu menjelaskan penguatkuasaan peraturan penggunaan saiz mata keroncong pukat tunda berukuran 38 mm mendapat sokongan padu majoriti nelayan.

Menurutnya, tidak ada sebab bagi pihaknya berganjak demi melindungi masa depan nelayan Zon A yang berjumlah lebih 80,000 orang berbanding yang terlibat dengan penguatkuasaan saiz pukat itu di Zon B sebanyak 3,900 orang.

S.M. Mohamed seterusnya mendakwa, kira-kira 150 jenis ikan termasuk udang dan penyu diancam kepupusan akibat kegiatan bot pukat tunda di kawasan 1 batu nautika hingga 5 batu nautika dari pantai.

Akibatnya, kira-kira 50,000 nelayan pantai di seluruh negara terjejas sumber pendapatan akibat kekurangan hasil tangkapan dan masalah jadi lebih serius apabila terdapat segelintir pengusaha bot pukat tunda mengubahsuai pukat tunda menjadi pukat buaya yang mengancam sumber perikanan.

“Kami berpendapat Malaysia perlu mengharamkan penggunaan pukat tunda seperti Hong Kong, Venezuela, Palau, Belize, Jepun dan Indonesia demi mengekalkan sumber perikanan pada masa depan,” katanya.

Beliau turut meminta kementerian terlibat menyiasat penggunaan pukat bilis, pukat rawa sorong dan pukat apollo di Kedah,Perlis dan Perak kerana penggunaan peralatan tangkapan itu turut mengancam sumber perikanan di kawasan pantai.

0 comments:

Post a Comment