Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, November 17, 2013

No Comment

MARANG – Seorang pemuda, Fakrulrazi Mohd Nor, 27, di Kampung Seberang Marang, dekat sini, berkemungkinan menderita sepanjang hayat apabila penyakit kulit yang dihidapinya sejak 26 tahun lalu tidak menunjukkan sebarang tanda mahu pulih.

Ibunya, Fatimah Jusoh, 70, berkata, Fakrulrazi mengalami masalah kulit menggelupas selepas setahun dilahirkan, bermula apabila bahagian tangannya mengalami kecederaan sebelum menggelupas, seterusnya melarat ke seluruh badan hingga kini.

Menurutnya, apabila penyakit kulit dialami anak bongsunya itu menjadi semakin teruk, badannya akan ditumbuhi kudis, bernanah dan apabila digaru kulitnya akan luka, berdarah serta menyebabkan kesan yang teruk pada badannya.

“Penyakitnya bertambah melarat jika dia makan makanan yang gatal seperti makanan laut, telur atau apabila menerima alahan daripada sesuatu keadaan pencemaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Marang di sini.

Fatimah berkata, akibat penyakit itu, Fakrulrazi banyak menghabiskan masa dengan berada di rumah, malah pembesarannya turut terganggu apabila keadaan fizikalnya tidak berubah dan kelihatan seperti kanak-kanak walaupun berusia 27 tahun.

Ikhtiar pelbagai cara

Apabila ditanya mengapa tidak dibawa ke pakar kulit, Fatimah berkata, sudah puas dia dan suami Mohd Nor Hussin, 74, membawa anaknya berjumpa pakar kulit namun penyakitnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan positif untuk pulih.

“Sudah banyak tempat juga kami bawanya berubat. Kami juga membawanya berjumpa doktor pakar kulit di Kuala Lumpur ketika Fakrulrazi masih kecil dan diberikan pelbagai jenis ubat termasuk sabun dan syampu khas untuk mandi.

“Luluh hati kami melihat penderitaannya tetapi kami tidak akan berputus asa untuk mengubati penyakitnya itu. Fakrulrazi adalah anak bongsu daripada 10 beradik. Setakat ini anak-anak dan ahli keluarga lain banyak membantu,” katanya.

Menurut Fatimah, walaupun Fakrulrazi turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun perbelanjaan itu tidak mencukupi untuk menyediakan keperluan ubat-ubatannya.

“Lebih membimbangkan, dia (Fakrulrazi) terpaksa berhadapan dengan kemungkinan hilang keupayaan seluruh badan termasuk serangan pada bahagian organ dalaman kerana kulitnya semakin menipis setiap hari akibat penyakit dialaminya itu,” katanya.

Ingin pulih dan bekerja

Dalam pada itu, Fakrulrazi ketika ditanya mengenai masa depannya, pemuda bertubuh kanak-kanak itu tetap menyimpan impian untuk pulih bagi menjalani kehidupan normal dan dapat bekerja seperti pemuda lain yang seusianya di masa akan datang.

“Ada doktor yang ditemui kata penyakit ini adalah penyakit keturunan tetapi tiada ahli keluarga mahupun adik-beradik saya yang lain menghidapi penyakit ini, kalau boleh saya juga mahu penyakit ini pulih dan hidup seperti orang lain,” katanya.

Menyerah keadaan dirinya kepada takdir, Fakrulrazi berkata, jika penyakit itu berjaya pulih serta diubati dia juga berhasrat untuk mendirikan rumah tangga dan menjalani kehidupan berkeluarga walaupun sudah menderita sejak 26 tahun yang lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi talian 01114938617 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional, 11105-29-83058188-5 (Mohd Nor Hussin).- SINAR HARIAN




0 comments:

Post a Comment