ALOR SETAR – Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah bertitah baginda dan Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah akan sentiasa memastikan nasib anak-anak yatim terbela.
Sehubungan itu baginda berpesan agar anak-anak yatim belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Ingatlah ketiadaan ibu atau bapa bukanlah penghalang untuk mengecapi kejayaan. Anak-anak sekalian perlu membuktikan mampu memperoleh kejayaan cemerlang seperti anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa,” titah baginda.
Tuanku Hajah Haminah bertitah demikian pada majlis penyampaian bantuan dan sumbangan persekolahan oleh Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah di TH Hotel di sini, hari ini.
Pada majlis itu baginda menyampaikan wang tunai, baucar pembelian keperluan sekolah dan hamper kepada 400 anak yatim sekolah rendah dan menengah dari daerah Kubang Pasu, Pokok Sena, Kota Setar serta Kuala Muda.
Tuanku Hajah Haminah melahirkan rasa syukur kerana kemurahan hati penyumbang yang membolehkan yayasan mengumpul dana untuk menjalankan aktiviti dan bantuan kebajikan.
“Beta berbangga kerana hasil sumbangan tersebut membolehkan yayasan tidak lama lagi akan mempunyai pejabat sendiri yang dilengkapai pelbagai infrastruktur bagi menguruskan anak-anak yatim secara lebih tersusun.
“Yayasan ini begitu unik kerana berjaya menuju halatuju ditetapkan iaitu bersama-sama membantu membela kanak-kanak khususnya yang kehilangan ibu bapa dan amat memerlukan bantuan pendidikan serta bimbingan untuk menjadi insan beriman, berilmu dan berguna kepada negeri dan negara,” titah baginda.
Raja Permaisuri Agong menzahirkan penghargaan kepada penderma yang tidak putus-putus membantu yayasan dalam membela nasib insan kurang bernasib baik.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha memperjuang dan membela nasib anak-anak yatim dengan mencemar duli ke sambutan ulang tahun yayasan tahun ini,” titah baginda. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment