Ampang – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakan dipercayai ketika bersembunyi dalam tong air bagi mengelak daripada terus diserang dua lelaki tidak dikenali, kelmarin.
Dalam kejadian di Medan Selera Angsana Hilir, Kampung Pandan, di sini, lelaki berusia 20-an itu dipercayai menjadi mangsa serangan bermotifkan cemburu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa sedang makan bersama seorang wanita tempatan berusia 20 tahun.
“Ketika sedang makan di sebuah gerai, mangsa didatangi dua lelaki bersenjata parang yang segera bertindak menetaknya.
“Wanita yang bersama mangsa itu terkejut dengan insiden terbabit melarikan diri kerana bimbang turut dicederakan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Amiruddin berkata, mangsa yang cedera ditetak di belakang badan melarikan diri ke kawasan flat Taman Angsana Hilir kira-kira 200 meter dari medan selera itu.
“Mangsa bersembunyi dalam sebuah tong air plastik yang diletakkan bawah Blok G flat berkenaan. Beberapa orang awam yang melihat keadaan mangsa segera menghubungi ambulans,” katanya.
Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia lalu bertindak menghubungi polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Amiruddin berkata, hasil siasatan berjaya menahan dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki senegara berusia antara 20 dan 46 tahun.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari hingga 9 Disember ini bagi membantu siasatan. – myMetro Online
0 comments:
Post a Comment