Suliman (tiga, kanan) menunjukkan sebutir bom yang ditemui dari kebun getahnya.
Bom yang masih aktif telah dijumpai Suliman.
FELDA KEPIS - Seorang peneroka yang sedang menjalankan kerja-kerja meracun di kebun getah di Felda Kepis, dekat sini terkejut setelah menemui sebutir bom jenis 'air drop' di kawasan berkenaan.
Bom tersebut dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua itu dijumpai Suliman Madimon, 59, kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.
Menurut Suliman, dia tidak menyangka objek besi yang pada awalnya disangka ekzos motosikal jenis Srambler itu rupa-rupanya sebutir bom yang masih aktif.
“Sedang sibuk meracun di lereng bukit, saya terpijak objek keras lalu tergelincir tetapi ketika itu saya tidak syak apa-apa kerana saya fikir itu hanyalah besi biasa atau ekzos motosikal.
"Tak sangka pula itu sebenarnya bom. Nasib bom itu tidak meletup ketika saya bawa ia ke pejabat Felda Kepis,” katanya ditemui semalam.
Tambah Suliman, dia hanya menyedari objek yang sudah berkarat itu sebutir bom selepas dimaklumkan oleh rakan-rakan di pejabat berkenaan.
“Rakan-rakan memberitahu bahawa objek itu mungkin sebutir bom dan saya terus menghubungi Pondok Polis Batu 10, dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu Pengurus Felda Kepis, Mohd Ruslan Suli, 50, berkata, pada awalnya dia menyangka bom itu adalah sebutir bom mortar setelah melihat sendiri objek itu.
"Anggota polis dari Balai Polis Dangi tiba di pejabat untuk memeriksa objek tersebut dan meletakkannya di tempat yang rata dengan kawalan ketat demi keselamatan penduduk.
“Penemuan ini merupakan sejarah buat kami kerana belum pernah sesiapa di felda ini menjumpai bom sejak ia dibuka pada 1978. Oleh itu kita mohon agar peneroka melaporkan kepada pihak pejabat atau polis sekiranya terjumpa objek yang pelik ketika berada di kebun.
“Kita juga nasihatkan mereka agar berhati-hati ketika melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan kebun," katanya.
Sinar Harian difahamkan, bom tersebut telah dimusnahkan oleh unit pemusnah bom Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Seremban kira-kira 1.40 petang semalam, di kawasan kebun dengan jarak satu kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim turut menasihati orang ramai yang menjumpai bom lama supaya tidak memindahkan bom berkenaan kerana risikonya amat tinggi hingga boleh mengancam nyawa. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment