BESUT – Seorang peniaga nyaris maut akibat ditembak dua lelaki yang merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kampung Seberang Kastam, Kuala Besut semalam.
Mangsa hanya luka di perut dan keadaannya dilapor tidak membimbangkan.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.55 petang apabila suspek yang menaiki motosikal menyerbu premis tersebut.
Mereka mengacukan pistol ke arah tiga pembantu kedai dan mengarahkan ketiga-tiga wanita berkenaan memasukkan telefon yang dipamer di premis itu ke dalam beg plastik yang dibawa para perompak, katanya.
Beliau berkata kejadian itu disedari seorang peniaga kedai makan yang terletak besebelahan kedai telefon itu yang cuba membantu, tetapi telah diacukan pistol oleh para perompak.
Kamaruddin berkata para perompak itu melepaskan tembakan ke arah peniaga berkenaan sebelum melarikan diri dengan motosikal mereka yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis yang dirompak itu, katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment