Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, December 29, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSC) menyifatkan dakwaan syarikat-syarikat Bumiputera telah diabaikan atau diketepikan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah tidak berasas sama sekali.

Ia juga berkata dakwaan seumpama itu sebagai provokasi semata-mata daripada mereka yang tidak faham bagaimana industri itu dilaksanakan.

Presiden MOGSC Sofiyan Yahya berkata persepsi itu juga amat menjengkelkan kerana ia seolah-olah menafikan penyertaan Bumiputera dalam industri penyumbang terbesar kepada pendapatan Malaysia itu.

Beliau berkata Petronas telah menyatakan dengan jelas syarat yang syarikat perlu memenuhi pegangan kepentingan Bumiputera tertentu sebelum sebarang lesen diluluskan.

Jelas beliau, pemegang kepentingan itu pelbagai dalam setiap bidang kerja, dengan minimum 30 peratus penyertaan Bumiputera sehinggalah ke 100 peratus.

“Komuniti Bumiputera mempunyai penyertaan sihat dalam industri minyak dan gas (O&G) dan ramai dalam kalangan kami turut serta. Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk memperkecilkan sumbangan Bumiputera dalam sektor ini. Tiada industri O&G Malaysia tanpa peserta Bumiputera,” kata beliau kepada Bernama.

Sofiyan berkata MOGSC, sebagai wakil terbesar peserta O&G di Malaysia, telah tampil untuk mewakili ‘suara’ industri di celah-celah laporan negatif baru-baru ini mengatakan syarikat Bumiputera telah diketepikan dari segi pemberian projek oleh Petronas.

“MOGSC ada 450 ahli, 90 peratus ahli MOGSC adalah syarikat Bumiputera dan semuanya ada kontrak,” kata beliau.

Beliau berkata selain daripada penyertaan Bumiputera, syarikat yang memohon lesen daripada Petronas juga perlu faham mengenai industri, kepakaran, integriti, profesionalisme dan kompetensi.

“Malah, selepas mendapatkan lesen, syarikat-syarikat yang mahukan kontrak daripada Petronas mesti lalui proses pembidaan.

“Ada syarikat yang tidak mahu membida (tender) kerana merasakan lesen oleh Petronas itu seperti hak untuk dapat kontrak.

“Kebanyakan syarikat yang nak masuk bidang minyak dan gas tidak faham caranya. Ada cara-caranya dan Petronas amat telus,” kata beliau.

Beliau berkata untuk mereka yang berminat menceburi industri O&G, Petronas turut menyediakan platform yang dipanggil “program pembangunan vendor”, khusus untuk membantu syarikat Bumiputera mendapatkan kepakaran dalam bidang yang diidamkan.

Sementara itu, mengulas mengenai Pembangunan Integrasi Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor, Sofiyan berkata tidak timbul sebarang isu berhubung pengagihan kontrak dalam projek berkenaan kerana ia masih belum dimuktamadkan oleh Petronas.

Beliau berkata keputusan pelaburan akhir dijangka dibuat pada akhir Mac tahun depan dan apa yang dilakukan oleh Petronas pada masa ini ialah kerja-kerja penyediaan seperti penyaluran air ke tapak kerja.

Sehubungan itu, beliau menegaskan syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat untuk terlibat dalam projek itu perlu memperkemaskan diri kerana sebaik sahaja ia dilaksanakan, Petronas merancang untuk memperuntukkan bahagian tertentu kepada syarikat Bumiputera dan kerja khusus lain untuk entiti berpangkalan di Johor.

Sofiyan berkata pembinaan kilang-kilang utama memerlukan berbilion ringgit dalam pelaburan dan teknologi tinggi, malah, syarikat bukan Bumiputerapun tidak boleh bersaing dengan syarikat asing.

“Oleh itu, syarikat-syarikat Bumiputera mesti beri tumpuan kepada projek penyenggaraan dan pemeriksaan dan banyak lagi kerja-kerja sokongan dalam tempoh 50 tahun ini.

“Inilah projek-projek yang boleh mengekalkan syarikat Bumiputera sebagai perniagaan berdaya maju. Secara kolektifnya, nilai projek-projek ini kepada Bumiputera amatlah tinggi,” kata beliau.

Ditubuhkan pada 2003, MOGSC ialah pertubuhan bukan mengaut keuntungan dengan keahlian terdiri daripada syarikat berpangkalan di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kepada industri minyak dan gas di dalam negara dan rantau. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment