Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, February 10, 2014

No Comment

BERA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM10 juta untuk melaksanakan program pembangunan pertanian dan industri asas tani bagi daerah Bera merangkumi tempoh lima tahun.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, RM5 juta adalah untuk sektor pertanian, manakala selebihnya bagi pembangunan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang akan mula dilaksana pada tahun ini.

Ke arah itu, katanya, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan terdiri daripada jabatan serta agensi di bawah kementerian yang akan dipengerusikan ketua setiausaha kementerian bagi memastikan semua projek dilaksanakan mengikut jadual.

“Setiap tahun sebanyak RM1 juta akan dibelanjakan bagi pembangunan pertanian dan RM1 juta bagi IKS,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan penduduk Kampung Charuk Puting di sini semalam.

Katanya di bawah program lima tahun itu, tanah terbiar yang berpotensi akan dimajukan dengan tanaman bersesuaian sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran, manakala projek ternakan pula membabitkan kambing, ayam, lembu, kerbau, burung puyuh, dan ikan.

Sementara itu, Ismail Sabri, yang juga Anggota Parlimen Bera, berkata dusun buah-buahan lama dan tidak lagi mengeluarkan hasil akan ditanam dengan benih terbaharu yang dihasilkan Mardi untuk meningkatkan pengeluarannya.

Menurutnya, kampung tradisional serta tanah rancangan Felda yang mempunyai banyak bilangan penduduk pula akan dibangunkan dengan projek IKS untuk menjana pendapatan sampingan.

Beliau mengarahkan agensi dan jabatan di bawah kementeriannya mengenal pasti tanah di kawasan itu untuk dimajukan dengan program yang dirancang untuk menjadikan Bera daerah pengeluar hasil pertanian dan IKS terkenal di Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata lebih 110,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara dikenal pasti berpotensi dimajukan dengan pelbagai projek pertanian yang boleh memberi pendapatan lumayan.

“Kita sedang membuat kajian dan menghubungi pemilik tanah terbabit kerana sebahagian besar kawasan tanah itu dimiliki orang perseorangan dan hanya sedikit sahaja tanah kerajaan,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment