SHAH ALAM – Seorang peniaga alat ganti warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1,392 gram, hampir tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Eze Ifeanyi Boy, 33, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Boy yang berdiri di kandang tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman.
Dalam penghakimannya, Akhtar berkata terdapat percanggahan yang ketara di antara keterangan tertuduh kepada pihak polis dengan keterangannya di mahkamah berhubung pemilikan dadah itu.
“Setelah meneliti keterangan semua saksi, saya memutuskan untuk lebih mempercayai keterangan saksi pendakwaan berbanding keterangan tertuduh. Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh dan sehubungan itu tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Boy didakwa melakukan kesalahan di kawasan tuntutan bagasi G, Level 3, Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 11.30 malam, 23 Okt 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sebanyak empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie sementara tertuduh diwakili peguam M.Visvanathan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment