MISTERI kehilangan kanak-kanak berusia tiga tahun Low Min You kini semakin menarik apabila ibu bapanya ditahan polis.
Low Yee Sheng, 31, dan isterinya Yong Siew Yee, 26, ditahan ketika mereka hadir di Balai Polis Kota Kinabalu di Karamunsing pada Rabu lepas.
Low yang merupakan seorang pemasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan Yong pada mulanya diminta hadir ke balai polis itu sebelum ditahan.
Pagi semalam, mereka dibawa ke hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Danny Buaya di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di mana Pegawai Penyiasat Inspektor Shreethran Balan memohon tahanan reman selama seminggu untuk pasangan itu.
Peguam suspek Ram Singh, bagaimanapun membantah kerana Low dan Yong masih mempunyai seorang anak untuk dijaga di rumah.
Buaya kemudian menetapkan perintah reman sehingga esok, menurut laporan The Star Online.
Difahamkan pasangan ibu bapa kanak-kanak malang itu ditahan ekoran kenyataan bercanggah kedua-dua mereka yang diberikan kepada pihak polis.
Penahanan itu berlaku sehari selepas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata kes itu menjadi misteri kerana pihaknya kekurangan informasi berkenaan lokasi di mana kanak-kanak itu berada.
Min You dilaporkan hilang pada 9 Mei lepas selepas bapanya meninggalkannya di dalam kereta untuk pergi ke tandas di sebuah stesen minyak di Kampung Air pada kira-kira pukul 5.50 pagi.
Kereta berkenaan ditemui beberapa jam kemudian di Bukit Signal, kira-kira 2.5km daripada lokasi ia dilarikan tetapi kanak-kanak itu tiada di dalamnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Robert Salisip, beberapa mesej telah tersebar di laman media sosial bahawa ada orang ternampak kanak-kanak itu bersama satu pasangan di daerah itu.
“Ada juga mesej lain yang memaklumkan kanak-kanak itu berada di sebuah hotel di Keningau,” katanya.
Menurut beliau, pihak polis memeriksa maklumat dan lokasi berkenaan bagaimanapun gagal menemui kanak-kanak itu ataupun sebarang petunjuk.
Sumber: My News Hub
0 comments:
Post a Comment