Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, May 13, 2014

No Comment
Tindakan bekas Menteri Besa Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said meninggalkan Umno menjejaskan jumlah pegangan kerusi Barisan Nasional di negeri itu. Gambar fail The Malaysian Insider.
Cara terbaik untuk menilai sama ada PAS akan mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ialah dengan mengadakan undi tidak percaya atau melalui pilihan raya semula, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yahaya Ali.

Beliau berkata, PAS berpendapat jalan paling mudah adalah mengadakan kerjasama dengan bekas Adun Umno berkenaan yang menjadi Adun Bebas untuk membentuk kerajaan bersama seperti yang berlaku di Perak.

Bagaimanapun, katanya, beliau sendiri masih belum yakin dengan "angkanya" untuk membolehkan PAS mendapat sokongan majoriti dalam DUN Terengganu.

"Cara terbaik adalah dengan menilainya melalui satu undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

"Jika BN tidak cukup sokongan maka bolehlah kerajaan negeri bertukar tangan. Atau kita buat melalui pilihan raya semula," katanya kepada The Malaysian Insider.

Adun Batu Buruk daripada PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, berkata rakyat Terengganu perlu diberi mandat semula untuk menentukan siapa yang patut mentadbir kerajaan negeri itu walaupun seorang lagi Adun Barisan Nasional (BN), dari Bukit Besi dikatakan akan bertindak keluar Umno.

Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat itu berkata, Adun Bukit Besi, Roslee Daud dikatakan bakal menyertai bekas Menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Adun Ajil, Ghazali Taib keluar Umno dan menjadi Adun Bebas berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan Putrajaya memaksa Ahmad meletakkan jawatan.

Jika benar tindakan Roslee itu, bermakna Pakatan Rakyat mempunyai kerusi paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu iaitu 15 (14 PAS, 1 PKR) manakala BN akan menjadi 14 dan Bebas 3.

Syed Azman berkata, beliau pasti Roslee akan keluar dari Umno dan menjadi Adun Bebas.

"Saya sudah melihat surat keluar Umno daripada Adun Bukit Besi itu," kata Syed Azman kepada The Malaysian Insider.

Syed Azman berkata, langkah terbaik bukannya menukar kerajaan begitu sahaja seperti di Perak kerana tindakan sedemikian akan menyebabkan ketidakstabilan di Terengganu dan adalah terlebih baik memberikan mandat semula kepada rakyat Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, PAS Terengganu tidak dapat mengesahkan tindakan Adun Bukit Besi itu kerana surat itu belum dihantar lagi.

Krisis di Terengganu berlaku semula apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguatkuasakan surat perletakan jawatan Ahmad yang ditandatanganinya sebelum dilantik untuk penggal kedua sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum 2013 lalu.

Najib dikatakan bertegas menguatkuasakan surat itu walaupun Ahmad merayu agar ianya dilaksanakan selepas selesai majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei ini.

Ahmad menandatangani surat peletakan jawatan selepas setahun dilantik semula sebagai MB Terengganu selepas pilihan raya umum lalu.

Ia dibuat selepas Umno tidak bersedia untuk melantik beliau semula dan sebagai penyelesaiannya mereka bersetuju Ahmad dilantik setahun lagi sebagai MB.

Susulan rasa tidak puas hati, Ahmad dan Ghazali melepaskan semua jawatan dalam Umno dan keluar parti menjadi Adun Bebas.

Ahmad berkata, beberapa Adun lagi akan menyertai beliau.

Semalam, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai menteri besar Terengganu yang baharu.

Najib dalam satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Razif bagi menggantikan Ahmad diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdidin.

Ahmad Razif mengangkat sumpah memegang jawatan di depan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, malam tadi. – 13 Mei, 2014.

Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment