MARAN – Kira-kira 30,000 penduduk yang tinggal di sepanjang laluan Jerantut-Kuantan merasa lega apabila perkhidmatan bas henti-henti syarikat Warisan Seri Jengka yang ditamatkan perkhidmatannya sejak 10 tahun lalu beroperasi semula hari ini.
Ia melibatkan penduduk sekitar Jerantut, Pulau Tawar, Sungai Tekam, Kampung Ibol, Kuala Sentol, Felda Jengka 8 serta penduduk 30 buah kampung lagi di sepanjang laluan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata perkhidmatan itu akan bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang.
“Ia akan memulakan perjalanan dari bandar Kuantan melalui Felda Jengka 1, Pekan Sungai Jerik, Kampung Jara (Kuala Sentul) dan sekitar Bandar Maran.
“Perkhidmatan bas ini bukan sahaja memudahkan urusan seharian penduduk malah mereka dapat menikmati perjalanan ke Kuantan dengan kos yang lebih murah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perkhidmatan bas itu di Kuala Sentul di sini hari ini.
Syarikat berkenaan turut mengadakan perkhidmatan dari Simpang Pelangai ke Bandar Bentong, Kuala Lipis-Padang Tengku, Benta-Jerantut dan Bera-Bahau di Negeri Sembilan.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment