GEORGETOWN – Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendesak kerajaan negeri menyatakan jumlah rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang dibina di Pulau Pinang sejak 2008.
Beliau berkata isu perumahan adalah keperluan mendesak di negeri ini dan pihaknya banyak menerima aduan menyatakan kesukaran untuk membeli rumah berikutan harga yang terlalu mahal.
“Saya mahu exco bertanggungjawab dalam hal perumahan ini memberi jawapan yang jelas mengenai jumlah rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang telah dibina sejak 2008.
“Selain itu nyatakan juga jumlah rumah berharga RM400,000 dan ke atas yang telah dibina, ramai mengadu susah untuk beli rumah kerana harga tinggi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain itu, Huan yang berdepan pertandingan empat penjuru pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor juga berjanji akan memberi sepenuh tumpuan kepada penduduk di kawasan parlimen itu sekiranya dipilih.
Beliau juga berharap agar penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gelugor memberinya peluang memandangkan PCM hanya ada di negeri ini.
“Saya janji kalau saya menang saya akan bagi tumpuan sepenuhnya pada Bukit Gelugor, saya akan peluk…cium Bukit Gelugor setiap hari, bagilah saya satu peluang…,” katanya.
Pada pilihan raya kecil 25 Mei ini Huan akan berdepan Ramkarpal Singh Deo daripada DAP dan dua calon bebas iaitu Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.
Karpal Singh, yang juga bekas Pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Teh Beng Yeam yang memperoleh 13,597 undi.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment