Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, May 4, 2014

No Comment

MACHANG – Dua penjenayah berputih mata apabila usaha mereka melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank, di sini, gagal sekalipun telah berjaya menarik keluar mesin berkenaan dari kedudukan asalnya, semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 5.20 pagi itu, kedua-dua suspek yang memakai penutup muka bertindak mengikat mesin ATM itu pada kenderaan mereka sebelum menariknya keluar daripada bank berkenaan dan terjatuh di atas jalan.

Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Roslan berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terdengar bunyi deruman kuat enjin kenderaan sebelum meninjau keadaan di sekitar kedainya.

Katanya, ketika itu dia sedang bersiap-siap untuk membuka kedai makan yang terletak berdekatan dengan bank berkenaan.

“Pekerja saya beritahu mengenai bunyi itu (kereta). Mungkin ada rompakan berlaku, lalu saya segera melihat melalui tingkap dan ternampak dua lelaki berada berdekatan bank. Mereka cuba menarik sesuatu dengan sebuah kereta jenis Proton Waja.

“Saya hanya lihat dari jauh dan tidak berani pergi lebih dekat kerana bimbang penjenayah menyedari kehadiran saya,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Loo Lian Lai berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek didapati telah berjaya menarik keluar mesin ATM berkenaan menggunakan tali yang dipercayai jenis dawai.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai telah menghampiri mesin ATM tersebut untuk mengambil sesuatu sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.

“Selang beberapa minit kemudian, suspek berpatah balik dan cuba membuka mesin ATM itu tetapi gagal sehingga memaksa mereka meninggalkannya,” katanya.

“Hasil pemeriksaan ke atas mesin ATM terbabit, didapati tiada kehilangan wang direkodkan dan jumlah keseluruhan baki wang di dalamnya ialah RM178,550,” katanya.

Tambah Lian Lai, pihaknya berjaya mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan berharap dapat mengesan kedua-dua suspek terlibat dengan segera.

“Selain itu, kita juga telah berjaya mengesan lima cap jari pada pemegang pintu bank dan satu kesan cap jari pada tin cat hitam yang dipercayai digunakan suspek,” katanya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment