PERU – Seorang wanita dari Peru yang mendakwa sebagai wanita paling tua di dunia dengan usia 116, membuka petua umur panjangnya. Iaitu dengan makan diet semula jadi iaitu kentang, daging kambing dan kacang.
Wanita itu, Filomena Taipe Mendoza, mempunyai kad pengenalan untuk membuktikan bahawa dia adalah wanita paling tua di dunia dan dilahirkan pada 20 Disember 1897.
Jika dakwaan Mendoza itu benar maka dia tiga bulan lebih tua daripada wanita paling tua di dunia yang kini disandang oleh Misao Okawa, dari Jepun.
Mendoza, yang banyak makan daging dan susu kambing ini mendakwa dia menjalani kehidupan yang sukar dan menjadi janda pada usia muda dan terpaksa menyara sembilan orang anak.
Dia juga tidak pernah meninggalkan kampung halamannya dan rahsianya hanya terbongkar selepas dia mengutip cek persaraan yang baru.
“Semua yang saya masak adalah bahan mentah yang diambil dari kebun saya. Saya selalu makan kentang, daging kambing, susu biri-biri, keju kambing dan kacang.
“Saya bekerja keras ketika muda kerana mempunyai anak yang ramai. Hanya tiga orang yang hidup,’’ katanya.
Mendoza bagaimanapun mempunyai keinginan terbesar iaitu memiliki gigi supaya dia dapat menguyah makanan.
Dalam pada itu, kumpulan penyelidik Gerontology yang berpangkalan di California berkata, dakwaan Mendoza bahawa dia adalah individu paling tua di dunia sukar dibuktikan.
Ini kerana gelaran berkenaan tidak dapat disahkan dan ada kalanya adalah palsu.
Kumpulan itu juga memberi amaran bahawa kerajaan Peru mungkin cuba menggunakan gelaran tersebut untuk mendapat keuntungan bagi meningkatkan industri pelancongannya.
“Kebiasaannya kita akan meneliti tiga dokumen iaitu sijil kelahiran daripada kerajaan atau gereja, sijil kahwin jika seseorang wanita itu menukar nama dan kad pengenalan.
“Namun dalam hal ini kita hanya mempunyai satu dokumen sahaja,’’ katanya
0 comments:
Post a Comment