Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, May 28, 2014

No Comment

Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah diumumkan telah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini pada pukul 1.30 petang tadi pada usia 86 tahun.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan berita berkenaan di bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) negeri Perak hari ini.

“Bahawa dengan sedih dan dukacitanya dimaklumkan, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzudin Shah telah mangkat pada jam 1.30 tengahari pad 28 Mei tahun 2014 Masihi,” demikian umum Dr Zambry sebentar tadi.

Menurut beliau, jenazah Almarhum tuanku akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk rakyat memberikan penghormatan terakhir bermula pukul 9 pagi esok untuk pembesar negeri dan orang kenamaan.

“Orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir mulai pukul 11 pagi hingga pukul 2 petang, manakala oleh raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang.

“Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas Solat Asar pada 29 Mei 2014,” katanya.

Almarhum baginda kini sedang menerima rawatan di IJN sejak April 2013 dan gambar keadaan terkini baginda ketika hayatnya hanya dapat ditatap pada 28 Disember 2013 lepas.

Almarhum Sultan Azlan pernah ditabalkan sebagai Yang diPertuan Agong kesembilan pada 26 April 1989 hingga 25 April 1994 serta pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 November 1982 menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara pada masa itu.

Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun Mohd Ali serta seorang putera dan tiga orang puteri.

Sultan Azlan Shah dimasyurkan sebagai Sultan Perak ke-34 pada 3 Februari 1984 dan ditabalkan secara rasmi di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia pada 9 Disember 1985.

Pada 26 April 1989 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kesembilan.

Jenazah Almarhum tuanku akan dikebumikan pada Jumaat ini.

Ketika mengumumkan kemangkatan baginda, Dr Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari mulai hari ini.

“Bendera Malaysia pula akan dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari sahaja,” katanya.

Sepanjang tempoh berkabung tujuh hari, Dr Zambry berkata semua acara berbentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan.

“Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan baginda Sultan maka esok hari Khamis diisytiharkan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak sempena hari pemakaman,” katanya.

Sumber: Ibnu Khusairy Aris / Mynewshub

0 comments:

Post a Comment