Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, September 2, 2014

No Comment

SEPANG – Penumpang setia Malaysia Airlines (MAS) Lau Ai Lian tidak pernah ketinggalan untuk memberi penghormatan kepada mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, meskipun terpaksa memohon cuti daripada majikan.

Lau, 46, akauntan di sebuah firma di Subang Jaya berterima kasih kepada majikannya kerana memahami hubungan istimewa beliau dengan syarikat penerbangan itu, lebih-lebih lagi MAS sentiasa menjadi pilihan utamanya setiap kali terbang ke luar negara, sejak beliau kecil.

Pada Selasa, beliau sekali lagi menggunakan cuti tahunannya untuk bersama-sama ‘menyambut’ ketibaan sembilan mangsa tragedi MH17, meskipun hanya dibenar berbuat demikian dari luar pagar Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabngsa KL (KLIA), di sini.

“Saya tak akan berhenti berdoa hanya kerana hujan. Saya tetap berada di sini, apatah lagi hari ini giliran dua kapten dibawa pulang. Kapten merupakan individu paling penting dalam sesebuah pesawat,” katanya kepada pemberita semasa menunggu ketibaan pesawat komersial MH19 yang membawa jenazah itu.

Lau juga memaklumkan bahawa beliau dan suami, Jimmy Ang Sayyew, 52, bertolak dari rumah mereka di Klang sejak awal pagi, bagi membolehkan mereka tiba di Kompleks Bunga Raya pada 7 pagi, untuk mendapatkan ‘tempat dan pemandangan terbaik’, iaitu laluan keluar kenderaan jenazah.

Beliau juga berharap semua rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh di belakang MAS, khususnya pada saat-saat getir berhadapan dengan tragedi kehilangan MH370 dan nahas MH17.

“Secara kebetulan, angka kesukaan saya sejak kecil ialah tiga dan tujuh, menyebabkan saya lebih sedih bila kejadian ini berlaku,” katanya sebak.

“Saya harap MAS akan meneruskan perniagaan mereka dan tabah menghadapi situasi ini, saya tidak kenal sesiapa di dalam pesawat MH17 itu tapi saya datang bagi menunjukkan sokongan kepada keluarga mangsa dan syarikat penerbangan kesayangan saya itu,” katanya.

Pada masa sama, seorang pramugara MAS Syed Anuar Syed Ibrahim, 48, bersama isteri Syarifah Noraini Syed Hamid, 48, turut menunggu di luar kompleks itu bagi menyertai istiadat ketibaan sembilan jenazah pada Selasa.

Syarifah Noraini berkata kedatangannya pada hari ini adalah bagi memberi sokongan kepada suaminya untuk meneruskan karier beliau.

“Suami saya berkawan rapat dengan kru pesawat malang itu, terutama Penyelia Penerbangan, Mohd Ghafar Abu Bakar, jadi secara tak langsung saya juga kenal dengan rakan-rakan beliau,” katanya.

Katanya, beliau mengambil kesempatan untuk hadir pada hari ini kerana suaminya akan mula bertugas, malam ini.

“Istiadat sebelum ini saya tidak sempat ke sini, kerana pada ketika itu suami saya sedang bertugas,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment