KUALA LUMPUR - Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) Agensi Angkasa Negara (Angkasa) berjaya merakam imej Nova Delphini iaitu antara 30 Nova yang paling cerah yang pernah direkodkan setakat ini.
Angkasa dalam satu kenyataan media memberitahu, imej itu dirakam oleh Observatori Negara Langkawi (ONL) pada 24 Ogos yang lalu.
“Nova paling cerah berlaku pada bintang V0603 Aquila dengan magnitud kecerahan-1.4 pada tahun 1918.
“Kepentingan utama fenomena seperti Nova ini adalah dalam penentuan jarak antara (diluar) galaksi,” jelas kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Nova berlaku pada sistem bintang berkembar yang rapat dengan salah satunya merupakan bintang kerdil putih yang akan mengambil sumber hidrogen dari bintang kembarnya.
Jelas kenyataan itu, fenomena itu melibatkan letupan yang berlaku apabila bintang kerdil putih menerima sejumlah gas hidrogen dari bintang kembarnya.
Apabila lapisan hidrogen baru menutupi permukaan bintang kerdil putih itu semakin menebal dan padat maka bahagian bawahnya akan meletup seperti sebuah bom hidrogen.
Bagaimanapun, bintang kerdil itu tidak hancur hasil daripada letusan berkenaan, sebaliknya proses itu akan berulang dan letusan seterusnya berlaku antara beberapa tahun hingga puluhan ribuan tahun yang tidak dapat ditentukan.
Angkasa turut memaklumkan Nova dan Supernova adalah berbeza kerana Supernova jauh lebih terang dan berwarna sedikit kemerahan berbanding Nova yang lebih putih.
Kata kenyataan itu, secara teorinya, Supernova berlaku akibat tindak balas nuklear pada bintang itu sendiri atau apabila teras bintang gergasi runtuh apabila menghampiri hujung hayatnya,” kata kenyataan itu.
Namun terdapat juga Nova yang mampu meletup dan menghasilkan Supernova, tetapi terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi terutama dari segi jisim dan tenaga.
“Kali pertama Nova Delphini ditemui oleh Koichi Itagaki dari observatorinya sendiri di Yamagata, Jepun pada 14 Ogos 2013,” kata kenyataan itu.
0 comments:
Post a Comment