MARANG – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tidak sampai dua minggu keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat batuk, darah tinggi dan kencing manis, juruhebah radio (DJ) Terengganu FM, Zulkefli Mohd Daud, 57, sekali lagi ditimpa musibah apabila rumahnya nyaris terbakar, pagi semalam.
Bagaimanapun, tindakan pantas jiran tetangga membantu mengawal kebakaran sebuah stor menyimpan motosikal, menyelamatkan rumahnya daripada turut musnah.
Anak mangsa, Azrulnizam Zulkefli, 21, berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah berdekatan dengan stor berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang nyenyak tidur di dalam sebuah bilik di rumah itu.
“Saya tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi bising dari arah luar rumah sebelum ibu masuk ke dalam bilik dan memaklumkan ada kebakaran berlaku di stor tempat menyimpan motosikal itu.
“Saya kemudiannya bergegas keluar, setelah melihat kebakaran yang mungkin merebak, saya masuk semula ke dalam rumah untuk mengeluarkan barang dan peralatan rumah,” katanya.
Azrulnizam berkata, dia bersyukur kerana hasil tindakan pantas jiran tetangga dan anggota bomba, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya.
Namun katanya, stor bersebelahan rumahnya itu musnah sama sekali termasuk enam motosikal diletakkan di dalam stor tersebut.
Menurutnya, anggaran kerugian ditanggung akibat kejadian itu masih belum dapat ditaksirkan.
Sementara itu, bapa Azrulnizam, Zulkefli Mohd Daud, 57, juga dikenal dengan nama Ayah Long ketika mengendalikan segmen ‘Guane Gamok Orang Kita’ di Terengganu FM, bersyukur kerana kejadian tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.
“Saya bersyukur kebakaran tersebut berjaya dikawal dan akhirnya dipadam sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkefli menganggap kejadian tersebut sebagai ujian berganda, namun reda dengan suratan takdir menimpa dia sekeluarga.
Hal itu disebabkan Zulkefli baru sahaja keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kira-kira 10 hari lalu selepas ditahan di wad dan kini bercuti hampir dua bulan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang, Nor Khairee Abdul Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian.
Anggota dari Balai Polis Bukit Payung, di sini, juga sudah mengambil keterangan keluarga mangsa. – SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment