Raja Nong Chik mahu BN terima tawaran Anwar. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 September, 2013.
Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menerima cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding bersama Pakatan Rakyat (PR) agar perbagai permasalahan dapat diselesaikan secara permuafakatan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu menegaskan sekiranya parti Melayu lain seperti PAS ingin menyertai rundingan tersebut, maka cadangan itu perlu diambil kira oleh BN.
"Jika semua parti Melayu sedia duduk bersama untuk berbincang maka BN harus menyahut seruan perpaduan itu demi rakyat. Demi pihak majoriti yang ingin melihat kerjasama tersebut, BN harus menyahut seruan ini.
"Sekiranya orang Melayu mampu untuk bersatu maka kaum lain akan menghormati pemuafakatan ini dan menjadikan negara lebih stabil dalam jangka masa panjang," katanya semasa ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam persetujuannya itu, Raja Nong Chik sempat mengecam Anwar dengan melabelkannya sebagai pencetus perpecahan kaum Melayu sambil meragui keikhlasannnya mencadangkan untuk berunding dengan BN.
"Saya melihat cadangan Anwar itu sebagai 'ada udang di sebalik batu'," katanya.
The Malaysian Insider melaporkan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan tawaran Anwar itu perlu dipertimbangkan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, sekiranya ia mendatangkan manfaat tidak salah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak merebut peluang tersebut.
Katanya, sebarang tawaran yang melibatkan kepentingan rakyat perlu dipertimbangkan secara serius bagi memastikan nasib rakyat terbela dan tidak diabaikan.
Anwar semasa perutusan sehari sebelum hari kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.
Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.
Bagaimanapun, pemimpin Umno secara jelas menolak rundingan damai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Beberapa pemimpin Umno melahirkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengajak dua parti terbesar negara itu untuk berunding.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir melihat cadangan pemimpin pembangkang itu sebagai usul terdesak.
0 comments:
Post a Comment