KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menegaskan tiada kenaikan tambang bas ekspres dibenarkan buat masa ini meskipun berlaku kenaikan harga petrol RON95 dan diesel bermula 2 September lalu.
Bagaimanapun, SPAD memaklumkan caj tambahan (surcaj) sebanyak 10 peratus untuk perkhidmatan bas ekspres yang dibenarkan pada 8 Julai lalu akan dilanjutkan sehingga kadar tambang baru diumumkan.
“SPAD sedia maklum kesan kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan pada 2 September 2013 terhadap pengusaha bas ekspres.
“Setelah meneliti kesan langsung dan tidak langsung kenaikan harga bahan api ini kepada pengendali, SPAD bersetuju surcaj 10 peratus dilanjutkan sehingga kadar tambang baru diumumkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut SPAD, keputusan itu diambil setelah meneliti komponen kos operasi seperti bahan api, upah dan kos penyelengaraan yang akan meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan api tersebut.
SPAD kini diperingkat akhir kajian kadar tambang bas ekspres dan akan memastikan agar tambang baru yang bakal diumumkan tidak membebankan rakyat dan pengusaha.
SPAD pada 18 Jun lalu menolak permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk menaikkan tambang sebanyak 30 peratus pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Bagaimanapun SPAD bersetuju untuk membenarkan pengusaha mengenakan surcaj sebanyak 10 peratus berkuatkuasa dari 8 Julai hingga 8 September untuk semua bas ekspres.
Langkah itu bagi membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna terutama semasa Aidilfitri.
0 comments:
Post a Comment