KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali menegaskan kementerian itu sentiasa mengambil perhatian serius terhadap kes-kes kemalangan melibatkan ambulans milik hospital kerajaan.
Malah, katanya, Kementerian Kesihatan telah mengantikan sebanyak 300 unit kenderaan ambulans milik hospital kerajaan yang telah `uzur’.
“Kementerian Kesihatan sentiasa memantau kerja-kerja penyelenggaraan dan melaksanakan modul latihan kepada pemandu secara berkala di peringkat negeri,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang menyebut empat hospital mengalami kekurangan ambulans yang dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan khususnya kes kecemasan.
Laporan yang dibentang di Dewan Rakyat pada Selasa lalu itu turut menyatakan bilangan ambulans sedia ada tidak dapat menampung keperluan operasi, ditambah dengan aspek penyenggaraan yang tidak dipantau secara berkesan.
Semakan audit mendapati Hospital Seri Manjung di Perak kekurangan sembilan ambulans, Hospital Serdang di Selangor (18), Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu (11) dan Hospital Umum Sarawak (16).
Berdasarkan rekod di Bahagian Perkembangan Perubatan, sepanjang tempoh 2010 hingga Ogos 2012, sebanyak 124 ambulans terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan 44 kematian.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, Kementerian Kesihatan mengambil tindakan berterusan untuk menyediakan peralatan dan alat bantuan mengajar mengikut keperluan tertakluk kepada peruntukan kewangan.
Jelas beliau, pihaknya akan berusaha untuk membekalkan komputer kepada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) berdasarkan kepentingan dan keperluan kemudahan komputer di empat buah kolej yang dikatakan tidak mematuhi nisbah 1 komputer: 8 pelatih.
“Sebagai contoh, Kolej Jururawat (KJ) Sandakan, Sabah telah dibekalkan tambahan tujuh unit komputer pada 30 Ogos 2012,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian Kesihatan telah memperuntukkan sebanyak RM3.09 juta bagi tahun 2013 untuk perolehan aset perubatan dan bukan perubatan bagi 33 ILKKM.
0 comments:
Post a Comment