Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, December 4, 2013

No Comment

KUANTAN — Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk
apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8
malam ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang,
sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima
daerah.

“Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin,
Kuantan dan Jerantut.

“Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang
membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan.

“Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat
pemindahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran,
1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

“Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana
satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga,” kata
jurucakap itu.

Katanya laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Km28 Kuantan-Sungai
Lembing, Km36 Jalan Gambang-Kuantan, Km16 Jalan Nenasi-Pekan, Km145 Jalan
Jerangau-Jabor, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km10 Jalan Kuantan-Pekan.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir.

Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu Supt Azid Ismail berkata lebih 10,000
penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang
dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua
sungai semakin naik.

Azid berkata hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang
dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan
kawasan tebing sungai.

“Penduduk dinasihatkan supaya tidak turun ke Sungai Tembeling atau Sungai
Pahang ketika air naik sebaliknya berpindah segera jika berlaku banjir bagi
mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Pengusaha bot penambang dan 50 pengusaha bot pelancong di Taman Negara juga
dinasihatkan supaya menghentikan sementara perkhidmatan mereka.

“Pengusaha bot perlu mengutamakan keselamatan penumpang,” katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor yang
dipindahkan di empat daerah pagi ini meningkat kepada 4,765 daripada
1,018 keluarga.

Menurut portal bencana Majlis Keselamatan Negara, Mersing mencatatkan jumlah
mangsa tertinggi iaitu 4,247 orang, diikuti Segamat (402), Kluang (85) dan Kota
Tinggi (31).

Semalam jumlah mangsa banjir dipindahkan di Mersing ialah seramai 1,035
orang membabitkan 306 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan.

Sebanyak 27 pusat perpindahan dibuka setakat pukul 11 pagi di negeri ini
dengan Mersing sebanyak 18 pusat, Segamat (enam), Kluang (dua) dan Kota Tinggi
(satu).

Menurut seorang pengguna jalan raya, Shahrul Hassan, 43, ketika dihubungi
Bernama berkata laluan KM 32 dan KM 35 Jalan Mersing-Kota Tinggi masih
ditenggelami air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

“Kira-kira 100 orang yang menaiki 50 buah kenderaan tidak dapat meneruskan
perjalanan ke Mersing sejak 9 pagi tadi,” katanya.– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment