KUALA LUMPUR -Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) memaklumkan bank-bank di Johor akan tetap ditutup pada hari Sabtu dan Ahad meskipun negeri itu melaksanakan cuti minggu setiap hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari tahun depan.
ABM dalam satu kenyataan media memberitahu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor telah memberi pengesahan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permintaan ABM untuk meneruskan cuti minggu bank pada Sabtu dan Ahad.
“Terdapat sebanyak 17 bank yang menjadi ahli ABM beroperasi di Johor pada waktu ini. Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor tiada bantahan atas permohonan ABM untuk bank komersial mengekalkan Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat,” kata kenyataan itu hari ini.
Media pada 24 November lalu melaporkan kerajaan Johor tidak akan memberi sebarang tekanan kepada sektor swasta untuk melaksanakan cuti mingguan baharu iaitu pada Jumaat dan Sabtu atau mengekalkannya pada hari Sabtu dan Ahad.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata, perubahan cuti mingguan berkenaan yang akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan sememangnya memerlukan masa untuk penyesuaian.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Majlis Pengurniaan Pingat di Dewan Jubli Intan, Muar sempena Hari Keputeraan baginda ke-55 baru-baru bertitah, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari depan.
Baginda bertitah, hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.
0 comments:
Post a Comment