Afdlin Shauki
Selepas menghasilkan filem Papadom versi Tamil dengan judul, Appalam, pelakon dan juga pengarah prolifik, Afdlin Shauki mengakui dia kini dalam proses untuk mengarahkan filem Papadom dalam bahasa Cina.
Lebih menarik, Afdlin berkata, dia kini sedang menanti kata putus daripada bintang filem Hong Kong, Andy Lau untuk merealisasikan perancangannya itu.
“Saya tidak bergurau, saya kini memang sedang menanti jawapan dari Andy selepas seorang penerbit yang juga rakan kongsi syarikat penerbitan milik Andy, menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya bagi menghasilkan filem Papadom dalam bahasa Cina.
“Saya dan penerbit tersebut pernah berjumpa ketika saya terlibat sebagai juri untuk pertandingan filem pendek bagi Kumpulan Berjaya. Penerbit itu menyuarakan hasrat mahu bekerjasama dengan saya. Jadi saya tunjukkan filem Papadom dan mereka suka.
“Setakat ini beberapa perbincangan telah di buat antara saya bersama wakil syarikat penerbitan aktor berkenaan,” jelas Afdlin selepas malam gala tayangan filem Papadom 2 di e@Curve, kelmarin.
Menurut Afdlin, jika kerjasama ini berjalan dengan lancar, dia mengharapkan filem Papadom dalam versi Cina bukan sahaja ditayangkan di Malaysia, bahkan di Hong Kong dan juga China.
“Saya difahamkan jika Andy terlibat sebagai penerbit, ia akan memudahkan pihak kami membawa filem tersebut ke pasaran Hong Kong atau China, kelak,” ujarnya.
Filem Papadom arahan Afdlin pernah ditayangkan sekitar tahun 2009. Filem yang berjaya mengutip kutipan RM3.5 juta itu di bintangi Liyana Jasmay, Afdlin sendiri serta Que Haidar, Noorkhiriah, Vanidah Imran, Scha Al-Yahya dan ramai lagi.
Papadom juga pernah difilemkan dalam versi Tamil berjudul Appalam dan ditayangkan sekitar 2011.
Dalam pada itu, setelah dua tahun diperam, filem Papadom 2 bakal menemui penonton mulai 12 Disember ini dan masih mengekalkan barisan pelakon seperti Liyana Jasmay, Chelsia Ng, Vaidah Imran di samping penampilan Hans Isaac, Johan (Raja Lawak), Dira Abu Zahar dan Khir Rahman.
Papadom 2 membawa kesinambungan Saadom yang terkejut dan mula menyusun strategi apabila mengetahui anaknya Miasara merancang mahu berkahwin. Saadom dan rakan baiknya pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu Miasara sekali gus memastikan anaknya tidak membuat pilihan yang salah.
Siapakah tema lelaki Miasara? Apakah hasrat Miasara dan teman lelakinya direstui oleh Saadom? Dan bagaimana pula dengan hubungan Saadom dan profesor Balqis? Ikuti kisah seorang bapa prihatin dan anaknya di dalam Papadom 2.
Berseteru dengan Hans Isaac?
Sementara itu, desas-desus yang mengatakan Afdlin dan Hans Isaac tidak lagi sebulu sehingga kumpulan Boboi tersingkir dari pementasan Lawak Ke Der 3, menimbulkan persoalan.
Apatah lagi, umum mengetahui, kedua karyawan ini adalah kawan baik dan sudah banyak bekejasama.
Justeru kesempatan bertemu dengan Afdlin digunakan media untuk bertanya perihal sebenar.
“Bergaduh? Siapalah yang buat cerita ini (ketawa). Saya dengan Hans baik sahaja. Boboi tidak dapat menyertai Lawak Ke Der 3 kerana saya dan Harun Salim Bachik sama-sama sibuk.
“Saya akui kadangkala ada juga saya bergaduh dengan Hans, tapi mengenai kerja dan selepas itu kami akan okey. Biasalah kalau ada perbezaan pendapat dalam kerja. Tapi tidak pernah melibatkan hubungan personal.
“Kami sudah kenal sejak bangku sekolah lagi, saya kenal sangat dengan Hans. Cuma kami sama-sama sibuk sekarang jadi susah sikit untuk berjumpa. Iyalah, saya ada keluarga, dia pun tengah sibuk nak bina keluarga (ketawa),” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment