KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menubuhkan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini bagi menangani penyebaran fahaman Syiah dan ajaran sesat yang semakin menular.
Semasa mencadangkan perkara itu Exco Agama Kerajaan Negeri Johor, Abd Mutalib Abd Rahim, berkata institut seumpamanya diwujudkan di Johor dan sangat signifikan dalam membendung fahaman itu serta liberalisme, pluralisme dan Al-Arqam.
“Kalau dulu hanya ada segelintir (ajaran sesat), tetapi sekarang mereka ada jemaah sendiri, kalau dulu secara sembunyi, sekarang sudah terang-terangan dan berani mencabar pihak berkuasa.
“Kita seharusnya jangan terperangkap dalam zon selesa. Sifat orang Melayu (Muslim) sejak dulu belum berubah, kita tidak terus terpanggil mengambil tindakan kecuali apabila melihat masalah timbul,” katanya.
Abd Mutalib berkata demikian ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2013 di sini, hari ini.
Justeru Abd Mutalib berkata, kewujudan institut seumpama itu mampu memainkan peranan yang lebih berimpak dan meluas dalam menjelaskan tentang kebatilan dan kesesatan fahaman yang menyimpang.
UMNO Perlis pula mencadangkan Kementerian Dalam Negeri memperluaskan Ops Cantas ke atas Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) bagi menghalang gabungan itu daripada terus meracuni pemikiran rakyat negara ini.
Wakil UMNO Kangar, Ramli Sharif, berkata tindakan tegas perlu diambil termasuk mendakwa kumpulan pelampau ini yang cuba menjatuhkan martabat Islam dan memecahbelahkan perpaduan umat.
“Kita diminta tunduk kepada sekularisme dan pluralisme sedangkan tidak mungkin rakyat di negara ini sama ada yang beragama Islam mahupun agama lain mahu menerima ajaran songsang seperti yang mereka tuntut itu,” katanya semasa perbahasan itu.
Tuntutan golongan COMANGO seperti mahukan kebebasan mengamalkan orientasi seks bebas, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama bertentangan dengan perlembagaan negara ini yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment