SEREMBAN – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan pelan transformasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya majlis daerah untuk melaksanakan penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan baharu berasaskan idea, sistem dan prosedur yang lebih dinamik.
Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata pelan transformasi itu akan memberi penekanan kepada urus tadbir baik, yang mementingkan ketelusan dalam proses membuat dasar, merancang dan melaksanakan program pembangunan untuk rakyat di peringkat akar umbi.
“Menerusi pelan ini, orang awam akan berpeluang untuk bersama-sama menyumbang idea dan pandangan dalam proses membuat keputusan dan pelaksanaan bagi projek pembangunan di kawasan PBT.
“Pelan transformasi PBT ini juga dijangka meningkatkan penyertaan rakyat daripada kumpulan masyarakat termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), golongan profesional dan sebagainya untuk memberi pandangan terhadap rancangan pembangunan yang diperkenalkan oleh majlis,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Taman Perwira, Sikamat di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya pelan transformasi PBT itu juga dijangkakan dapat menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan motivasi pekerja PBT.
“Memandangkan kuasa melantik tenaga kerja PBT selama ini terletak di bawah bidang kuasa PBT, kita dapati banyak isu berkaitan kemajuan kerjaya pekerja PBT sangat terhad. Kenaikan pangkat dan pertukaran tenaga kerja juga terhad. Keadaan ini boleh membantutkan motivasi pekerja dan implikasinya produktiviti pekerja tidak dapat ditingkatkan.
“Untuk mengatasi masalah ini, saya merasakan sudah tiba masanya sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan PBT ditubuhkan bagi mengambil tanggungjawab melantik, menaikkan pangkat dan menguruskan pertukaran pekerja dalam sesebuah negeri.
Suruhanjaya ini mempunyai peranan dan fungsi yang hampir sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (JPA). Suruhahanjaya ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Abdul Rahman berkata sekarang ini kementerian itu sedang membuat penelitian akhir dalam kertas pelan transformasi PBT berkenaan.
“Kami telah bermesyuarat termasuk sesi sumbang saran banyak kali dan akan persembahkan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas. Jika semuanya ok, kami akan bawa ke mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diperakui dan selepas itu proses perundangan akan dibuat.
“Saya rasa amat teruja sebab ini adalah lonjakan paradigma yang amat ketara dan kita tidak boleh lengahkan lagi,” katanya.
Dewan Orang Ramai Taman Perwira dibina pada 25 Jun 2012 dan siap pada 25 Okt 2013 dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta.
umber: Bernama
0 comments:
Post a Comment